Kaji kapasiti penonton Istana Budaya

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pawagam, teater dan acara siaran langsung dibuka semula, penganjur konsert mencadangkan ketetapan 250 penonton bagi premis ikonik, Istana Budaya (IB) dikaji agar projek dirancang ‘balik modal’.

Ketua Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Afandy Alias berharap lebih banyak kelonggaran bagi IB yang menjadi lokasi Konsert 4G’s yang sepatutnya dianjurkan syarikat terbabit, April lalu, diberi kerajaan.

“Bagi penganjur acara seperti saya, kelulusan diberi kerajaan semalam dianggap berita baik. Namun, saya berharap ada lebih banyak kelonggaran diberi bagi IB.

“Ini kerana bagi menjayakan Konsert 4G’s, kita perlu mencapai ‘full house’ (tiket habis dijual) atau 80 peratus tiket dibeli untuk mendapat pulangan yang baik.

“Kalau tempat duduk terhad, bagaimana kami mahu mendapat pulangan bagi menanggung kos seperti promosi dan bajet untuk pemuzik, penyanyi serta kelengkapan lain,” katanya kepada BH Online.

Semalam, kerajaan mengumumkan aktiviti pawagam, teater dan acara secara langsung dibenarkan dibuka semula di dewan tertutup mulai 1 Julai ini, tetapi kehadiran tidak boleh lebih 250 orang tertakluk saiz dewan serta perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Hazama mempromosikan Konsert 4G’s yang sepatutnya dianjurkan di IB, April lalu. Foto IG Konsert 4G’s.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, SOP mestilah ketat dari segi kawalan kemasukan dengan kapasiti masih kekal 250 orang dengan pemeriksaan suhu badan.

Tambah Afandy, tempat duduk di IB tidak rapat seperti kebanyakan premis acara lain.

“Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak kelonggaran diberi untuk persembahan di pentas IB.

“Jika SOP dikendalikan dengan baik seperti mana yang dibuat sebelum kita memasuki pusat beli-belah, saya percaya kita boleh sama-sama menjaga keselamatan diri,” katanya yang belum mendapat tarikh baharu untuk Konsert 4G’s.

Sebelum ini, Belbis Sdn Bhd mengumumkan Konsert 4G’s yang menggandingkan empat sekawan iaitu Hazama, Akim, Tomok dan Black yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, IB, pada 17 dan 18 April lalu, ditunda akibat penularan COVID-19.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373