Bagaikan festival muzik antarabangsa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Konsert ST12 & Nidji Live In Sabah disifatkan sebagai festival muzik antarabangsa, baru-baru ini.

Lebih 4,000 penonton memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi menyaksikan konsert menggabungkan dua kumpulan Indonesia berpengaruh dalam industri muzik nusantara itu.

Membuka tirai, konsert dimulakan dengan lagu tradisi Sabah daripada Razali Kulintangan menerusi lagu Sumandak Sabah dan Original Sabahan yang dimainkan instrumental, selain disusuli petikan gitar oleh YouTuber terkenal, Anwar Amzah menerusi lagu Cari Pacar Lagi dan Hapus Aku.

Saling menunjukkan kehebatan, ST12 dan Nidji memberikan adrenalin luar biasa sepanjang lebih tiga jam konsert dengan mendendangkan 30 lagu.

Kelincahan vokalis Nidji, Ubay dan dua penyanyi ST12, Aris Idol dan Firman Siagian tatkala menyanyikan lagu hit dua kumpulan itu, umpama menyuntik tenaga kepada penonton untuk kekal sehingga akhir konsert.

Antara lagu ST12 persembahkan, termasuk Puspa, Rasa Yang Tertinggal, Cukup Sampai Di Sini, Putri Iklan, Cari Pacar Lagi, Aku Terjatuh dan Putih-Putih Melati.

Selain itu, Firman Siagian yang cukup terkenal menerusi lagu Kehilangan tidak ketinggalan mendendangkan lagu hitnya itu.

Penonton hadir bersorak dan menyanyi bersama apabila alumni Indonesian Idol ketika menyanyikan lagu ‘berhantu’ yang banyak menaikkan namanya sebagai penyanyi solo, suatu ketika dahulu.

Dihoskan artis serta boleh, Zizan Razak dan penyampai Era Sabah, Adnan, penonton dikejutkan dengan kemunculan penyanyi legenda rock, Datuk Amy Search yang menyanyikan lagu Isabella bersama ST12.

Manakala, Nidji yang sudah lebih dua dekad berada dalam liga seni pula tampil dengan 13 lagu hit sepanjang zaman seperti Arti Sahabat, Bila Aku Jatuh Cinta, Ku Takkan Bisa, Hapus Aku dan Laskar Pelangi.

Kemunculan Amy bersama ST12 disifatkan satu apresiasi luar biasa sepanjang hampir 20 tahun bergelar anak seni dalam arena muzik serantau.

Pernah merakamkan semula lagu Isabella dengan susunan muzik berbeza bagi album P.U.S.P.A (Repackage) sekitar 14 tahun lalu, kehadiran Amy konsert bukan sahaja penampilan istimewa buat penonton, namun ia satu kejutan pada saat akhir.

Amy berada di Sabah bagi menjayakan Konsert Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Sabah di perkarangan Kompleks Sukan Likas, kemudiannya tak menolak mendendangkan lagu Isabella bersama ST12.

Firman dan Aris dilihat berkongsi keterujaan bersama penonton tatkala melihat kemunculan rockers legenda itu.

Malah, pemain bass, Indra memberikan ‘standing ovation’ sebelum memeluk penyanyi berusia 65 tahun itu.

Pemain dram, Ilham Febry atau Pepep berkata, kehadiran penghibur disegani ramai itu bagaikan menyuntik semangat buat ST12 memberikan persembahan lebih bertenaga.

“Kami terkejut apabila penganjur memaklumkan Amy hadir dan membuat penampilan menyanyikan lagu Isabella.

“Ini adalah satu penghargaan serta penghormatan buat kami kerana beliau adalah seorang idola ST12 dalam bidang muzik sejak dahulu.

“ST12 terharu ekoran Amy menawarkan diri untuk hadir bersama menghiburkan penonton untuk konsert di Sabah kali ini,” katanya ketika ditemui selepas konsert.

Mengulas sama ada ST12 mempunyai perancangan merakam lagu bersama Amy, Pepep sudah lama menyimpan hasrat berkolaborasi dengan ‘living legend’ itu.

“Amy mempunyai vokal istimewa yang tidak terdapat pada penyanyi lain dan kelebihan itulah mampu meletakkan beliau pada legasi tersendiri sejak Search mula ditubuhkan.

“Insya-Allah, kami berharap Amy sudi berkolaborasi menerusi penghasilan lagu baharu atau menyanyikan semula lagu lama Search dengan diberi nafas baharu oleh ST12,” katanya.

ST12 bakal muncul dengan ST12 Live Concert in Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November depan.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373