Kertas siasatan kes 5 polis larikan orang, diserah ke Bukit Aman

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Lima anggota polis yang ditahan berhubung dakwaan melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai di Desa Petaling, di sini, Selasa lalu, disifatkan sebagai bermasalah dan kurang berintegriti.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata siasatan pihaknya berhubung kes ini sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak Bukit Aman.

“Memandangkan kes itu membabitkan anggota dan pegawai polis, kertas siasatan akan diserahkan kepada Bukit Aman terlebih dulu sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada minggu ini.

“Setakat ini kita selesai merakam kenyataan semua saksi diperlukan dan motif kejadian dipercayai ada kaitan dengan kepentingan diri dan kurang integriti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program ‘Kembali ke sekolah’ di sekolah Victoria Institution, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai dan empat anggota polis antara enam ditahan kerana disyaki melarikan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah restoran di Desa Petaling di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata tangkapan itu susulan aduan diterima daripada mangsa yang berusia 26 tahun kira-kira jam 5.48 petang, Selasa lalu.

Katanya, lima daripada suspek adalah pegawai dan anggota polis serta seorang orang awam, berusia antara 27 hingga 42 tahun.

Sehubungan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (culik), Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan yang salah) serta Seksyen 323 akta sama (sengaja menyebabkan cedera).

Kejadian itu terdedah selepas Edisi Siasat menerusi aplikasi Telegram berkongsi maklumat laporan polis oleh mangsa berhubung salah laku pegawai dan anggota polis terbabit yang didakwa ada kaitan dengan pemilik kedai mesin judi.

Allaudeen berkata, buat masa ini semua anggota dan pegawai polis terbabit belum digantung kerja kerana tindakan penggantungan tugas akan dibuat jika mereka dituduh di mahkamah kelak.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373