Kes COVID-19 baharu lepasi paras 4,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kes baharu jangkitan COVID-19 di negara ini terus mencatat peningkatan melebihi 4,000 kes apabila sebanyak 4,020 kes dikesan setakat semalam.

Angka itu menjadikan jumlah jangkitan COVID-19 di negara ini meningkat kepada 4,586,322 kes.

Kali terakhir negara ini mencatat kes lebih 4,000 adalah pada 24 April lalu dengan 4,006 kes. Kelmarin, jangkitan mencatatkan 3,561 kes manakala 2,932 kes pada Selasa.

Selangor kekal menjadi negeri dengan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 1,630 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,049), Perak (295) dan Sabah (205).

Menerusi laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 4,011 penularan tempatan, sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Hingga kini masih terdapat 33,839 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini, iaitu 96.4 peratus atau 32,617 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah, hospital (1,156), Pusat Kuarantin dan Rawatan

COVID-19 (PKRC) (21); Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (23) dan ICU serta tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (22).

Bagi kadar penggunaan ICU di seluruh negara, ia kini berada di tahap 60.5 peratus penggunaannya dan terdapat sembilan negeri mencatatkan penggunaan ICU melebihi atau pada kadar 60 peratus dengan Selangor tertinggi iaitu 83.2 peratus.

Diikuti Kedah dengan 76.7 peratus, Kelantan (73.4 peratus), Johor (65.3 peratus), Negeri Sembilan (63.3), Terengganu (61.9 peratus), Kuala Lumpur (60.9 peratus) manakala Perak dan Putrajaya masing-masing 60 peratus.

Dalam pada itu, COVIDNOW turut memaparkan sejumlah lima kes kematian yang dilaporkan semalam termasuk dua kes meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Mengenai kes sembuh, sebanyak 1,718 individu dilaporkan pulih daripada jangkitan berkenaan menjadikan hingga kini sebanyak 4,516,688 kes sembuh dilaporkan di negara ini.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373