Kesesakan pesakit di zon semi kritikal, kritikal HSA akan diselesaikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Kesesakan pesakit di zon semi kritikal dan kritikal di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, akan dikurangkan.

Jaminan itu diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam ciapan di akaun X, hari ini.

Ia susulan notis zon hijau di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA ditutup bermula jam 2 petang hingga 9 malam, pada Rabu lalu.

Susulan itu, ada pengguna X mempersoalkan sama ada penutupan Zon Hijau itu menandakan sistem kesihatan di Johor Bahru di ambang kelumpuhan berikutan lambakan pesakit di zon semi kritikal dan kritikal HSA.

Dr Dzulkefly memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku di HSA.

“Insya-Allah tidak, namun kesesakan perlu kita kurangkan.

“Ini (penutupan Zon Hijau HSA) mekanisma Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengurangkan waktu menunggu di jabatan kecemasan.

“Ia diaktifkan apabila ada lonjakan kes menunggu (membabitkan pesakit) tidak kritikal di zon kecemasan. Ini bagi mengurangkan masa menunggu. Harap maklum,” katanya menerusi ciapan di akaun X semalam.

Semalam media melaporkan, penutupan sementara rawatan di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA, di sini, kelmarin adalah bagi menampung peningkatan pesakit Zon Kuning serta Zon Merah yang melebihi kapasiti.

Pengarah HSA, Dr Sal Atan, bagaimanapun dilaporkan berkata, perkhidmatan rawatan di zon itu dibuka semula pada hari sama sekitar 5 petang meskipun notis pemakluman menyatakan ia ditutup dari 2 petang hingga 9 malam.

“Pihak pengurusan hospital mengambil maklum tentang (kekeliruan) notis itu, penutupan sementara yang dimaksudkan ialah semua pesakit yang di triaj ke Zon Hijau diubah hala ke Klinik Kesihatan Mahmoodiah,” katanya.

Masalah kesesakan dan lambakan pesakit yang berlaku di HSA sering dilaporkan media sebelum ini.

Malah, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pernah mengadakan lawatan ke hospital berkenaan susulan isu kesesakan di HSA.

Pada 16 Jun lalu, Onn Hafiz dilaporkan berkata, masalah kesesakan yang berlaku sekian lama di HSA dijangka akan berkurangan dengan jaminan penambahan petugas kesihatan di di hospital awam itu oleh KKM.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373