Kilang proses elektronik terbakar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KLANG : Kepulan asap hitam dari sebuah kilang di Taman Industri, Meru di sini petang semalam bukan sahaja mengejutkan pekerja yang lari keluar menyelamatkan diri masing-masing.

Sebaliknya, kejadian itu menggemparkan dan menjadi tumpuan penduduk sekitar Meru malah dapat dilihat oleh penduduk berhampiran seperti Setia Alam serta Shah Alam.

Difahamkan, beberapa gambar dan video turut dikongsi di Facebook Pekan Meru, Klang selain meminta orang awam melalui jalan alternatif berikutan jalan berhampiran lokasi mengalami kesesakan lalu lintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.10 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira jam 5.21.

“Kebakaran itu membabitkan kilang memproses barang elektronik, bahan yang digunakan adalah daripada plastik, di mana anggaran keluasan 300 x 100 kaki.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.01 malam tadi dengan anggaran peratusan kebakaran adalah 50 peratus.

“Pada jam 8.32 malam, kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 5.25 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazam bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Beliau berkata, operasi pemadaman itu membabitkan 46 kekuatan pegawai dan anggota yang diketuai Ketua Zon Klang, Hussin Ab Rahman selaku Komander Operasi Kanan.

” Balai yang terbabit dalam operasi adalah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Sungai Pinang, BBP Kota Anggerik, BBP Pelabuhan Klang.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Bantuan serta Pasukan Bomba Sukarela dari Gombak, Seri Serdang, Kepong serta Batu,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373