KJ beri bayangan sertai JDT

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 15 Feb 2023 (The Capital Post) : Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan bakal menyertai kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Khairy atau nama sebenar, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 47, berkata, keputusannya itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini akan diumumkan pembabitan saya dengan JDT.

“Dahulu orang ingat saya tidak serius, tetapi saya memang ambil serius tawaran itu.

“Sebelum ini pun, orang ingat saya tak serius hendak jadi DJ HotFM, tetapi, pagi ini saya berada di konti,” katanya ketika mengendalikan segmen Bekpes Hot pada hari pertama sebagai penyampai HotFM, pagi tadi.

Menjawab pertanyaan rakan penyampai iaitu AG, Khairy atau lebih akrab disapa KJ memaklumkan, beliau tetap meneruskan tugas sebagai penyampai radio walaupun sudah bergelar CEO kelab terbabit.

“Rasanya tidak ada masalah kerana saya ‘multitasking’ (mahir buat banyak tugas),” katanya.

Melalui hantaran di Instagram Story (IGs) bulan lalu, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan melantik Khairy sebagai CEO kelab terbabit.

“CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail.

Keinginan Tunku Ismail itu dilihat tepat di mana Khairy cukup meminati sukan bola sepak.

Malah, bekas Ahli Parlimen Rembau itu amat berpengalaman dalam hal ehwal bola sepak tempatan apabila pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Khairy juga adalah bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018 di mana beliau mengilhamkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bagi melahirkan pemain muda berbakat yang boleh dipasarkan ke luar negara.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373