Kumpulan antitembakau, hak asasi kanak-kanak saman Menteri Kesihatan, kerajaan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi kesihatan dan kanak-kanak mengemukakan permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MTCT), Pertubuhan Green Lung Malaysia (GLMA) dan persatuan hak kanak-kanak, Voice Of The Children (VOC) memfailkan permohonan itu melalui firma guaman, Kanesalingam & Co pada Jumaat lalu, dengan menamakan Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

Ketiga-tiga pemohon menyatakan bahawa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada 31 Mac lalu, membuat Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 selepas berunding dengan Lembaga Racun.

Mereka berkata, perintah yang dipertikaikan itu mengecualikan klasifikasi nikotin sebagai racun, iaitu persediaan bahan yang digunakan untuk merokok melalui rokok elektronik dan alat pengewapan elektrik, dalam bentuk cecair atau gel.

Pengecualian itu membenarkan rokok elektronik dan produk vape dengan nikotin dijual secara terbuka dan sah di sisi undang-undang kepada sesiapa sahaja, termasuk kanak-kanak dan remaja yang berumur di bawah 18 tahun, tanpa peraturan atau kawalan.

Sehubungan itu, MTCT yang menaungi lebih 40 pertubuhan, MGLA dan VOC menyifatkan menteri tidak bertindak secara rasional dengan ketidakwajaran prosedur yang dilihat tidak seimbang kerana sepatutnya bertanggungjawab melindungi kesihatan awam.

“Menteri sebaliknya gagal dalam tugas itu dengan mengutamakan kutipan hasil. Realitinya, tindakan menteri itu memudaratkan kesihatan awam, terutamanya kanak-kanak yang paling mudah terdedah kepada bahaya merokok itu,” menurut kumpulan itu seperti dilaporkan portal kesihatan, Codeblue.

Terdahulu dalam Dewan Khas Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu, Dr Zaliha berkata, pengecualian cecair nikotin daripada senarai racun adalah ‘proses wajar’ kerajaan bagi membenarkan duti eksais dikenakan ke atas rokok elektronik dan cecair vape mengandungi nikotin.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib dalam satu kenyataan, berkata permohonan semakan kehakiman itu satu gesaan kepada kerajaan untuk mengkaji semula keutamaan berhubung kawalan tembakau.

Katanya, keputusan plaintif memfailkan tuntutan itu bertujuan mencegah dan mengurangkan kemungkinan bahaya akibat keputusan awal mengeluarkan cecair nikotin dalam vape dan e-rokok daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

“Tuntutan ini bukan lagi satu kejutan kerana sudah banyak rayuan, percubaan dan rundingan dilakukan membabitkan kebimbangan dalam menangani keadaan yang tidak terkawal untuk vape dan e-rokok yang mengandungi nikotin.

“Ini adalah tindakan terakhir untuk meminta kerajaan mengambil langkah segera mencegah kemudaratan, terutamanya dengan peningkatan laporan penggunaan vape bercampur nikotin dan ganja yang tinggi dalam kalangan golongan muda termasuk kanak-kanak,” katanya.

Katanya, sekiranya kerajaan mengekalkan status semasa, ia seolah-olah memperlihatkan kerajaan mempertahankan vape nikotin dan e-rokok, sedangkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini memberi amaran bahawa produk terbabit mengancam kesihatan awam.

“Jika kerajaan tidak jelas atau tegas dalam tuntutan mahkamah berkenaan vape nikotin, Malaysia boleh berada di sisi yang salah,” katanya.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373