LAKSAMANA tawar 1,000 peluang industri maritim

Estimate Reading Time: 2 minutes

LANGKAWI: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dalam usaha menyediakan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran ATM dalam industri maritim.

Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin, berkata inisiatif di bawah Program Latihan Kemahiran Anak ATM dan Veteran ATM (LAKSAMANA) itu bertujuan memberi peluang kepada anak warga ATM lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani latihan dalam bidang berkenaan.

Jelasnya, ia juga bagi membantu lebih ramai veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan mendapatkan peluang pekerjaan kedua dalam bidang maritim di 141 syarikat berdaftar di bawah AMIM.

“Usaha ini adalah salah satu inisiatif di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kita bagi melaksanakan program LAKSAMANA yang dirangka khusus bagi anak warga ATM dan veteran ATM seluruh negara.

“Pihak AMIM akan menyediakan mereka peluang latihan dalam industri maritim bermula tahun ini sehingga 2026 sebelum mereka yang layak akan berpeluang bekerja di 141 syarikat yang terbabit dalam industri maritim” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada majlis menandatangani MOU berkenaan,YLTAT diwakili Mohd Nizar, manakala AMIM diwakili Ahli Jawatankuasa Pengurusannya, Ir Hilmee Abu Kassim.

Majlis turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengulas lanjut, Mohd Nizar berkata, inisiatif ini juga dijangka mampu membantu mempercepatkan pelaksanaan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 daripada aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim.

“Sejajar dengan status Malaysia sebagai negara maritim berpotensi dalam aspek perdagangan dan geopolitik maritim, kita memerlukan ramai pekerja dalam industri ini pada masa hadapan.

“Ini juga dapat membantu memastikan kebajikan serta kesejahteraan hidup veteran ATM lebih terjamin dan membuka mereka lebih banyak peluang kerjaya kedua,” katanya.

Semalam, YLTAT turut menandatangani MOU bersama Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) bertujuan meningkatkan kemahiran anak warga ATM dan veteran ATM dalam industri pengujian tanpa musnah (Skilled Personnel Program in Non-Destructive Testing) di bawah program LAKSAMANA.

-Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373