Utamakan kebajikan warga ATM, pesara dan keluarga

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan ahli keluarganya, menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan kewangan yang disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata antara faedah menarik dinikmati anggotanya ialah semua pencarum LTAT dilindungi secara automatik di bawah Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya.

“Menerusi skim itu, sejumlah wang akan dibayar kepada anggota ATM yang diberhentikan perkhidmatan atas sebab kecacatan fizikal atau mental atau kepada waris pencarum yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

“Faedah terbabit diberi secara percuma tanpa memerlukan sebarang caruman tambahan daripada pihak pencarum. Bagi skim itu, bagi 2021 dan 2022, sebanyak RM9.1 juta sudah disalurkan kepada 256 penerima yang layak,” katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata, perlindungan itu selari tanggungjawabnya sebagai sebuah kumpulan wang simpanan yang memberi pulangan dividen tahunan yang mampan dan kompetitif serta peranan LTAT menjadi sebuah organisasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“LTAT menumpukan usaha menyalurkan bantuan kewangan berterusan kepada Tabung Pahlawan serta Tabung Kebajikan Angkatan Tentera dengan sumbangan terkini RM350,000 sejak dimulakan pada 2021.

2,000 unit kediaman RKAT

“Selain itu, bagi menyokong hasrat Kementerian Pertahanan menampung keperluan tinggi permintaan kediaman daripada kalangan anggota ATM di Lembah Klang, LTAT membangunkan 2,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman LTAT, Bukit Jalil.

“Kediaman itu dilengkapi perabot asas bagi memastikan anggota tentera dan keluarga mereka tinggal dalam keadaan yang kondusif dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, menerusi perbadanan penuh milik LTAT yang ditubuhkan pada 1983, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) berusaha membantu mengurangkan impak kenaikan harga barang dan bebanan kos sara hidup tinggi dengan menawarkan subsidi barangan ruji harian.

“Ini membolehkan anggota ATM, veteran dan keluarga ter- utama bagi pembelian beras, gula, tepung serta lain-lain di rangkaian kedai runcit di kem ATM seluruh negara berbanding harga pasaran.

“Selain itu, PERNAMA juga menaja program Kecemerlangan anak ATM serta menampung kos penyelenggaraan kenderaan Klinik Pergigian Bergerak ATM dengan bagi 2021 dan 2022, sebanyak RM5.4 juta dibelanjakan untuk tujuan CSR,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Yayasan LTAT turut membiayai sebanyak RM3.6 juta bagi menjayakan program pendidikan yang membabitkan 12,300 anak warga ATM dan RM3.9 juta di bawah program kebajikan terhadap 2,200 orang sepanjang tempoh dua tahun lalu.

“Pada 2021, LTAT melancarkan program Associate Fellow Programme (AFP) bertujuan menjana peluang pekerjaan dan mengukuhkan kemahiran profesional graduan muda dalam sektor korporat.

“Sehingga kini, seramai 38 graduan yang sebahagiannya anak tentera menyertai program terbabit dan daripada jumlah itu, 16 peserta diserap dan mendapat pekerjaan tetap di LTAT,” katanya.

Katanya, pada 2021, Yayasan LTAT turut memperuntukkan RM1 juta kepada warga ATM yang terkesan akibat banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, di samping mengagihkan peralatan elektrik termasuk 550 cerek, 410 periuk nasi, 100 peti sejuk mini, 400 peti sejuk, 400 unit dapur dan lain-lain.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373