Mahkamah tolak rayuan tuntutan ke atas AEON BiG

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Mega Continental Sdn Bhd untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung kes perjanjian pajakan membabitkan AEON BiG (M) Sdn Bhd.

AEON BiG dalam kenyataannya hari ini memaklumkan ia adalah rentetan daripada keputusan diperoleh pada 8 November 2019 serta Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2020, yang menyatakan bahawa Perjanjian Penyewaan dimeterai antara kedua-dua pihak untuk hartanah di Alor Setar adalah penyewaan bulanan dan bukannya pajakan selama 10 tahun.

Keputusan itu, katanya, seiring dengan peraturan kerajaan negeri yang tidak memberikan persetujuan mereka di bawah Seksyen 433B Kanun Tanah Negara 1965 dalam tempoh preseden bersyarat yang diperlukan di bawah perjanjian.

Pada 6 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengetepikan penghakiman ingkar diperoleh Mega Continental yang menuntut RM142 juta membabitkan perjanjian itu.

“AEON BiG mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar berkenaan. Kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 6 April 2021 dan perbicaraan kes ini masih belum berjalan.

“Bagi menegakkan dan melindungi reputasi dan kepentingan AEON BiG, kumpulan berhak untuk mengambil semua tindakan undang-undang yang diperlukan bagi memelihara hak sesuai dengan undang-undang,” katanya.

AEON BiG berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kumpulan tetap meneruskan usaha mengembangkan kehadirannya dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Katanya, kumpulan akan terus menawarkan standard pengalaman pelanggan yang terbaik serta produk berkualiti dengan nilai hebat dan pelbagai pilihan.

“Tahun ini, AEON BiG menjangkakan akan mencatat keuntungan operasi dua kali ganda berbanding tahun lalu. Pada 2020, AEON BiG memulakan segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) yang menjana pendapatan sebanyak RM50 juta.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada segmen ini dengan sasaran pendapatan RM300 juta tahun ini,” katanya.

AEON BiG berkata, kumpulan komited ke arah membina perniagaan bagi mencapai prestasi yang lebih baik dan yakin untuk memperolehnya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373