Malam indah rai ‘The Voice’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) terus menonjolkan kepelbagaian dengan memukau peminat pada konsert penghormatan untuk penyanyi digelar diva muzik ‘soul’, iaitu mendiang Whitney Houston, di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, baru-baru ini.

Acara digelar The Music of Whitney Houston itu menyaksikan MPO menggabungkan muzik pop dan elemen klasikal dalam menjulang legasi muzik Whitney Houston yang cukup dikenali sebagai ‘The Voice’.

Sebelum ini, MPO pernah mempersembahkan beberapa konsert penghormatan untuk penyanyi legenda popular seperti The Beatles, mendiang Michael Jackson, Led Zeppelin, Queen, U2, Billy Joel, ABBA dan mendiang Teresa Teng.

Menyoroti pencapaiannya, Whitney Houston menjadi antara artis paling berjaya dalam sejarah dunia muzik dengan mencatat jualan rekod sebanyak 220 juta unit di seluruh dunia.

Whitney Houston memiliki 11 lagu yang pernah menduduki carta teratas Billboard Hot 100. Antara pencapaian beliau yang lain termasuk lapan trofi di Anugerah Grammy, 16 trofi Anugerah Muzik Billboard, dua trofi Anugerah Emmy dan 28 penghargaan menerusi Anugerah Guinness World Records.

Justeru, keupayaan Whitney Houston dalam menarik pendengar muzik tidak perlu dipersoalkan lagi. Ini terbukti apabila Dewan Plenari penuh dengan peminat, biarpun bukan Whitney Houston sebenar yang berdiri di pentas mendendangkan lagu popularnya.

Menampilkan penyanyi bersuara lunak, Rashidra Scott, peminat dihiburkan dengan 18 lagu popular Whitney Houston. Sebelum ini, Scott pernah muncul di pentas Broadway seperti Beautiful: The Carole King Musical; Sister Act; Hair dan Avenue Q.

Scott adalah bekas penyanyi latar Patti Austin dan pernah muncul dalam pelbagai program televisyen (TV). Scott juga menjadi penyanyi utama bagi Disney Cruise Line dan Tarzan Rocks! di Disney Animal Kingdom, Amerika Syarikat (AS).

Scott membuka tirai malam itu dengan lagu malar segar, I Will Always Love You. Dianggap sebagai salah satu lagu terkenal Whitney Houston, lagu ini adalah single balada yang pada asalnya ditulis Dolly Parton.

Persembahan diteruskan dengan lagu I’m Your Baby Tonight; My Name Is Not Susan; All The Man That I Need; I Have Nothing; Saving All My Love for You; Run To You; Greatest Love of All dan I’m Every Woman.

Tidak hanya mendendangkan lagu, Scott banyak berceloteh sepanjang konsert. Antara yang dikongsi adalah lagu pertama Whitney Houston yang dinyanyikannya pada usia empat tahun, iaitu Greatest Love of All.

“Saya rasa sangat rendah hati atas peluang menjayakan persembahan penghargaan buat penyanyi legenda yang menyemai minat saya dalam nyanyian sejak sejak berusia empat tahun lagi.

“Pada usia itulah, keinginan untuk menyanyi dan mencari suara saya sendiri mula bercambah.

“Perjalanan ini sangat menggembirakan dan saya anggap yang terbaik akan datang. Whitney, saya akan sentiasa mencintai awak,” katanya.

Scott ‘memanaskan’ Dewan Plenari dengan lagu How Will I Know?; It’s Not Right But It’s Okay; Didn’t We Almost Have It All; If I Told You That; One Moment In Time; So Emotional; Where Do Broken Hearts Go?; Queen of the Night dan menutup tirai dengan lagu I Wanna Dance With Somebody.

Konsert itu turut disempurnakan dengan pimpinan konduktor Brent Havens yang pernah memimpin konsert MPO di DFP. Havens juga mencipta runut bunyi untuk filem siaran TV, iklan komersial dan bekerjsama dengan Doobie Brothers.

Havens juga menjadi konduktor dan penggubah bagi semua program simfoni rock untuk Windborne Music.

Konsert istimewa yang dianjurkan sempena meraikan 25 tahun penubuhan MPO itu berlangsung selama kira-kira 90 minit.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373