Mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,636 orang pagi ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU- Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,636 membabitkan 1,621 keluarga setakat pukul 7.00 pagi ini berbanding 2,652 mangsa daripada 781 keluarga malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan seramai 3,231 mangsa daripada 970 keluarga dipindahkan di Pasir Mas dan ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia diikuti Kota Bharu membabitkan 739 mangsa daripada 209 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

Di Pasir Puteh pula, 611 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan di tujuh PPS manakala di Bachok 256 mangsa membabitkan 60 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Manakala di Tanah Merah terdapat 371 mangsa daripada 50 keluarga menghuni lapan PPS, Machang dengan 219 mangsa membabitkan 65 keluarga yang dipindahkan di enam PPS dan 209 mangsa melibatkan 50 keluarga lagi di lima PPS di Kuala Krai.

Dalam pada itu laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan tiga sungai di Kelantan telah melepasi paras bahaya.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.47 meter melepasi paras bahaya 9 meter berbanding 10.37 meter malam tadi.

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada bacaan 23.98 meter melepasi paras bahaya 23.5 meter dan Sungai Kelantan di Kuala Krai kepada 25.07 meter (paras bahaya 25 meter).

Penduduk Kampung Nyatoh Terengganu menggunakan sampan membawa barangan keperluan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Nyatoh setelah kediaman mereka mula ditenggelami air.

Dua sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang kepada 33.96 meter (amaran 31 meter) dan Sungai Kelantan di Kusial pada paras 15.81 meter (amaran 14 meter).

Tiga buah sungai yang melepasi paras berjaga-jaga pula ialah Sungai Galas di Limau Kasturi di paras 56.52 meter (berjaga-jaga 56 meter), Sungai Galas di Dabong di paras 34.12 meter (berjaga-jaga 32 meter) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam di paras 3.18 (berjaga-jaga 3.0 meter).

Sementara itu, di Kuala Terengganu, keadaan banjir semakin buruk dengan peningkatan mendadak mangsa kepada 5,807 orang daripada 1,719 keluarga berbanding 2,387 orang (650 keluarga) malam tadi.

Sebanyak 55 PPS baharu terpaksa dibuka di tujuh daerah awal pagi ini menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi ketika ini ialah di 121 lokasi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata Besut iaitu daerah paling teruk terjejas terus merekod peningkatan jumlah mangsa kepada 1,787 orang (484 keluarga) di 45 PPS berbanding 1,312 orang (345 keluarga) di 31 PPS malam tadi.

“Banjir di Hulu Terengganu juga semakin buruk dengan pembukaan 18 PPS baharu yang menempatkan 1,751 mangsa (553 keluarga) berbanding 296 mangsa (94 keluarga) di 15 PPS malam tadi. Sebanyak 33 PPS beroperasi di daerah itu ketika ini.

“Di Setiu pula, jumlah mangsa turut merekod peningkatan ketara kepada 1,691 orang (523 keluarga) di 28 PPS berbanding hanya 296 orang (94 keluarga) di 15 PPS malam tadi,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan lima sungai di tiga daerah telah melepasi paras bahaya setakat pukul 7.00 pagi ini.

Dua sungai itu terletak di Setiu iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap merekod bacaan 22.91 meter (m) melepasi paras bahaya 21m dan Sungai Setiu di Kampung Besut pula setinggi 17.65m (bahaya 17.5m).

Dua sungai di Hulu Terengganu juga melepasi paras bahaya iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong setinggi 24.56m (bahaya 24.5m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping yang mencatat bacaan 21.38m (bahaya 19.7m).

Selain itu, Sungai Besut di Kampung La pula merekod bacaan 24.13m (bahaya 21.8m).

Di Pahang, keadaan banjir tidak berubah pagi ini, dengan tiga mangsa yang masih ditempatkan di PPS di Rompin, dekat sini.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373