Melaka, KL berentap di final

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Melaka akan bertemu Kuala Lumpur pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Melaka mengejutkan Perak 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi separuh akhir di venue sama di sini malam tadi selepas kedudukan kekal 1-1 selepas perlawanan selama 60 minit tamat.

Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad kendalian ketua jurulatih Melaka Nor Ikhram Sulaiman mendominasi perlawanan pada awal babak perlawanan dan meledak tirai jaringan menerusi gol padang yang disudahi Zufar Saiful Marsita pada minit ke-19.

Bagaimanapun, Perak menyamakan kedudukan pada minit ke-50 selepas kapten pasukan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti sekali gus meletakkan kedua-dua pasukan di kedudukan 1-1 sehingga wisel penamat ditiupkan.

Perak yang dikendalikan K Rajan terpaksa melupakan impian menjadi juara buat kali keempat selepas Muhammad Faid Farhadh Mohamad Shah, Adam Aiman Mamat dan Amirullah Zainol menyempurnakan pukulan penalti masing-masing.

Nor Ikhram ketika ditemui selepas perlawanan berkata kemenangan yang diraih anak buahnya merupakan di luar jangkaan kerana Perak adalah pasukan gergasi dalam kejohanan piala berprestij itu.

“Untuk perlawanan akhir Sabtu menentang Kuala Lumpur memang ramai pemain berpengalaman di situ, tapi kita tak mahu pasukan tertekan, saya akan pastikan mereka berusaha berhabis-habisan untuk rampas kejuaraan tahun ini,” katanya.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Kuala Lumpur mengecewakan Pahang 3-1.

Melaka adalah juara kejohanan ini pada 2005, 2009, 2015 dan 2019.

Sementara itu, skuad hoki wanita Selangor bakal membuat perhitungan dengan Sabah pada aksi final.

Terdahulu, Selangor menewaskan Melaka 2-1, manakala Sabah menundukkan Kuala Lumpur 2-1.
– BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373