Pengadil Korea berat sebelah tak jejas fokus Malaysian Tigers

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj menuntut anak buahnya untuk memburu kemenangan pada aksi terakhir Siri Jelajah Persahabatan di Incheon, Korea Selatan, esok.

Malaysian Tigers melakar dua keputusan seri serta satu kekalahan dalam tiga perlawanan sebelum ini dan berharap mereka tidak pulang tangan kosong.

“Kami memang inginkan kemenangan pada perlawanan terakhir itu.

“Walaupun kami bermain dalam situasi agak tertekan kerana pengadil lebih memihak kepada pasukan Korea, tapi kami ingin bermain dengan dua pengadil mereka.

“Kami mahu membuktikan yang kami masih boleh menang dengan kedua-dua pengadil itu,” kata Arul.

Dalam aksi persahabatan ketiga semalam, skuad kendalian Arul bangkit daripada ketinggalan untuk melakar keputusan seri 2-2, berterima kasih atas jaringan Muhammad Razie Abd Rahim menerusi pukulan penalti strok pada minit ke-60.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka tirai jaringan perlawanan buat Malaysia pada minit ke-27 sebelum Korea Selatan meledak dua gol masing-masing pada minit ke-31 dan 34 sebelum Razie menyelamatkan ‘maruah’ negara.

“Satu prestasi yang baik ditunjukkan Malaysian Tigers. Walaupun ketinggalan 1-2, kita dapat menyamakan kedudukan pada saat akhir, tiga saat sebelum perlawanan tamat. Kita dapat pukulan penalti strok dan akhirnya seri.

“Secara keseluruhan, satu prestasi kawalan bola yang tenang dan sabar dipamerkan pasukan tetapi kita perlu perbaiki lagi di suku ketiga terakhir,” kata Arul.

Siri Jelajah Persahabatan Korea Selatan antara medan persediaan buat skuad kebangsaan menjelang Trofi Juara-Juara Asia dari 3 hingga 12 Ogos ini di Chennai, India.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373