Monsun Timur Laut cetuskan hujan hingga 900mm

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kebanyakan negeri di Semenanjung, dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu di 100 milimeter(mm) hingga 900 mm dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Wardah Tahir, berkata ketika MTL ini, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut.

Beliau berkata, beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, selain barat Sarawak.

Katanya, ketika fasa peralihan monsun di antara September hingga Oktober lalu, negara menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

‘”Kesan peralihan monsun ini amat ketara baru-baru ini di pantai barat Semenanjung yang membawa hujan lebat luar biasa dan mengakibatkan beberapa siri banjir kilat di sana-sini seperti di Shah Alam,” katanya kepada BH.

Kelmarin, BH melaporkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh MTL atau musim tengkujuh di negara ini bermula Sabtu ini dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata, ketika awal MTL dari November hingga Januari tahun depan, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.

Dalam pada itu, Wardah berkata, MTL seperti saban tahun berkemungkinan menyebabkan hujan lebat dan kejadian banjir.

Justeru katanya, beberapa perkara boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi persediaan menghadapi banjir, termasuk memastikan sistem tebatan banjir termasuklah kolam tadahan dan takungan banjir, empangan, tambakan, saliran, perparitan, pintu air, pam dan dinding banjir sentiasa diselenggara dan dalam keadaan yang baik dan berfungsi.

Katanya, usaha perlu dilaksanakan termasuk membersihkan sungai dan saliran dari sampah sarap dan mendapan; menyedia, menyelenggara atau menambahkan kolam-kolam takungan dan empangan bagi mengurangkan limpahan air; dan merancang aliran banjir ke kawasan yang kurang berisiko.

“Selain itu, sistem ramalan dan amaran banjir yang berkesan dengan integrasi data antara METMalaysia dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara; memastikan penduduk terbabit menerima amaran dan dalam keadaan bersedia jika perlu; dan menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang lengkap serta mempunyai pelan dan strategi untuk evakuasi dan menyelamat .

“Bagi penduduk-penduduk di negeri-negeri di pantai timur yang diramalkan menerima hujan yang lebat pada MTL, antara persediaan yang boleh dilakukan termasuk sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan memantau keadaan cuaca yang boleh membantu untuk bersiap sedia lebih awal jika ada tanda-tanda akan berlakunya banjir,” katanya.

Katanya lagi, jika penduduk tinggal di kawasan yang sering terkena banjir, pertimbangkan untuk membina rumah yang tahan banjir atau meninggikan tapak rumah.

“Selain itu, pertimbangkan juga untuk memiliki insurans banjir untuk melindungi harta benda anda daripada kerosakan akibat banjir.

“Penduduk juga perlu berkomunikasi dengan jiran tetangga dan komuniti tempatan untuk bersama-sama membantu dalam situasi kecemasan selain sentiasa patuhi arahan dan panduan daripada kerajaan.

“Antara langkah lain adalah dengan membuat persediaan peribadi seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan, dan peralatan kecemasan. Boleh juga sediakan peralatan keselamatan seperti pelampung, perahu getah, dan peralatan komunikasi yang tahan air,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373