Kesan luruan Monsun Timur Laut akibatkan hujan lebat, banjir – METMalaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 1 Mac 2023 (The Capital Post): Negara kini dilanda episod keenam hujan lebat berterusan Monsun Timur Laut (MTL) akibat kesan luruan monsun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata biarpun episod keenam itu dijangka yang terakhir membawa hujan lebat, namun masih ada kemungkinan untuk hujan dan banjir terus berlaku di beberapa kawasan memasuki Mac dan April.

Beliau berkata, ini berikutan MTL hanya dijangka tamat pada pertengahan bulan ini sebelum tempoh peralihan ke Monsun Barat Daya.

“Selagi MTL belum berakhir, negara masih ada potensi untuk berlaku episod hujan lebat seperti yang berlaku ketika ini yang juga peringkat ke enam episod hujan lebat ini.

“Jangkaan kami ini mungkin yang terakhir bagi episod hujan lebat, tapi kemungkinan untuk berlaku masih ada kerana MTL hanya dijangka berakhir sekitar pertengahan bulan ini.

“Dalam proses peralihan MTL kepada Monsun Barat Daya, sekitar April, MetMalaysia juga menjangkakan ribut petir dan hujan akan terus berlaku,” katanya kepada BH hari ini.

Untuk rekod fasa MTL bermula pada 7 November 2022 dan dijangka berakhir pada Mac ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta untuk terus cakna dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia.

“Sementara masih MTL, kemungkian berlaku hujan lebat dan banjir masih ada, jadi orang ramai perlu terus berhati-hati,” katanya.

MetMalaysia hari ini mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga esok.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran hujan berterusan bahaya membabitkan tiga kawasan di Pahang iaitu Bera, Pekan dan Rompin, selain Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan berlaku kemarau seperti jangkaan dibuat Indonesia, Muhammad Helmi berkata, secara lazimnya, Malaysia mengalami musim kering atau secara relatifnya kurang menerima hujan pada Monsun Barat Daya, iaitu pada sekitar Mei hingga September.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau menjelaskan, angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan keadaan atmosfera yang lebih kering dan kelembapan udara yang rendah, menyebabkan pembentukan awan hujan kurang berlaku sepanjang tempoh monsun berkenaan.

“Kalau beraku El Nino, ia akan menyebabkan keadaan lebih buruk daripada biasa. Namun MetMalaysia masih memantau jangkaan cuaca kering pada tahun ini dan akan memaklumkan kepada orang awam sekiranya terdapat perkembangan terkini,” katanya.

Hujung bulan lalu, pemerintah Indonesia mengeluarkan amaran kepada petani dan syarikat perladangan supaya bersiap siaga menghadapi kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.

Ini berikutan kemungkinan berlaku cuaca kering berpanjangan di Asia Tenggara susulan corak cuaca El Nino, yang dijangka mengakibatkan musim panas berpanjangan.

Sumatera Tengah, tempat dari jerebu sering dikesan berarak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, biasanya mengalami cuaca kering dua kali setahun, sekitar Mac dan Oktober.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373