NUTP rayu KPM kaji semula arahan guru isi PdPR

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula arahan untuk guru melengkapkan Pelaporan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, realitinya guru dan murid menghadapi pelbagai kekangan dalam melaksanakan PdPR.

“NUTP menerima maklum balas daripada akar umbi mengenai pengisian pelaporan ini dan antaranya KPM perlu memberi fokus mengenai masalah utama dihadapi guru dan murid dengan mengumpul data seperti kebolehcapaian internet, kemampuan membeli data internet, kemudahan gajet dan jenis peranti digunakan.

“Pelaporan di pihak sekolah sudah memadai dengan dipantau oleh pihak pentadbir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada surat pemakluman KPM mengenai arahan untuk guru melengkapkan PdPR secara harian menggunakan pautan disediakan bermula 17 November hingga 17 Disember.

Harry berkata, pihaknya menerima maklum balas daripada guru bukan semua dalam kalangan mereka mempunyai capaian internet yang baik bagi memenuhi hasrat dan matlamat KPM.

Katanya, guru terpaksa berdepan masalah murid tidak dapat menghantar tugasan mereka pada waktu ditetapkan.

Beliau berkata, selepas meneliti maklum balas itu, NUTP mendapati guru terbeban dengan arahan berkenaan dan meminta mereka diberi kebebasan untuk menjalankan PdPR sepanjang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Sejauh mana pelaksanaan ini dapat memberi kesan positif pada guru, murid, ibu bapa dan masyarakat umum.

“Adakah pelaksanaan ini hanya untuk pengumpulan data sahaja yang mana ia boleh diperoleh daripada pihak sekolah,” katanya. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373