Pakar kesihatan mental puji peruntukan belanjawan untuk kesejahteraan psikologi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakar kesihatan mental menyambut baik peruntukan RM24 juta untuk program kesihatan mental menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Ketua Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) dan London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia berkata, ia baik untuk Putrajaya menangani masalah kesihatan mental secara terbuka dan menawarkan bantuan demi kesejahteraan psikologi rakyat.

“Walaupun ia peruntukan sederhana, ia menunjukkan betapa serius kerajaan dalam mengutamakan masalah ini,” kata Presiden MMHA, Dr Andrew Mohanraj.

Walaupun menyokong rancangan kerajaan meningkatkan pencegahan terhadap penderaan fizikal dan penyalahgunaan bahan, Mohanraj berkata, fokus juga perlu diberikan dalam menyediakan lebih banyak talian bantuan untuk kesihatan mental dan kempen kesedaran masyarakat.

Beliau juga berharap wang akan disalurkan kepada NGO kerana banyak inisiatif kesihatan mental memerlukan “sokongan signifikan dan berterusan”.

Namun, beliau terkejut dengan pengurangan hampir 10% peruntukan Kementerian Kesihatan untuk perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental, walaupun kerajaan mendapati panggilan berhubung masalah tekanan banyak diterima sejak beberapa bulan ini.

Pengetua LCCH Asia, Sheila Menon berkata, pengiktirafan Putrajaya terhadap kesejahteraan psikologi rakyat sangat penting untuk tahun depan kerana tekanan daripada pandemik Covid-19 mungkin membawa kesan jangka panjang kepada keadaan mental mereka.

“Kesihatan mental menjadi sesuatu yang sangat nyata dalam agenda. Tiada siapa yang terlepas daripada impak dan ketidaktentuan Covid-19 serta penting untuk menyedari kita sedang melalui krisis ini.

“Ia sama penting untuk menyediakan sokongan kepada petugas barisan depan, ahli politik dan orang ramai,” katanya kepada FMT.

Walaupun talian “hotline” dan tempat perlindungan antara penyelesaian segera kepada krisis itu, beliau berkata, kerajaan perlu meneliti program latihan supaya doktor boleh menolong pesakit mereka bukan hanya dengan kaedah fizikal.

“Program latihan juga boleh disediakan kepada lulusan psikologi dan mereka yang mempunyai sijil kaunseling yang belum bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan mental. Dengan latihan kemahiran yang sesuai, mereka juga boleh menyediakan khidmat sokongan kepada krisis kesihatan mental.”

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu berkata, RM24 juta daripada RM322.5 bilion yang diperuntukkan untuk tahun depan bertujuan meningkatkan program dan menangani masalah kesihatan mental, pencegahan keganasan dan penyalahgunaan bahan.

Beliau berkata, Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan menerima lebih 35,000 panggilan dari Mac hingga Oktober lalu, kebanyakannya mengalami kemurungan, tekanan perasaan dan kegelisahan. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373