Pembaharuan subsidi elektrik ruang tambah dana bantu rakyat

Estimate Reading Time: 3 minutes

SEJAK Kerangka Kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dilaksanakan pada 2015, kerajaan sudah melaksanakan 18 pusingan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang membolehkan harga bahan api dan kos penjanaan disemak setiap enam bulan berdasarkan naik turun harga bahan mentah penjanaan, terutama arang batu.

Sekiranya berlaku penurunan harga bahan api dan kos penjanaan secara global, penjimatan akan dikembalikan kepada pengguna sebagai rebat ICPT.

Jika berlaku kenaikan harga bahan api dan kos penjanaan, lebihan kos akan disalurkan kepada pengguna sebagai surcaj ICPT.

Hakikatnya, peningkatan harga bahan api adalah fenomena global. Tidak hairanlah, kesannya dirasai di seluruh dunia dan pelbagai negara memilih menaikkan tarif elektrik.

Cuma syukur di negara ini dan beberapa negara tertentu, kerajaan cakna rakyat mengambil sikap campur tangan untuk menstabilkan harga.

Kerajaan selama ini sudah memberi subsidi kepada semua orang, namun dengan kos penjanaan tinggi dijangka berterusan, tiada kerajaan yang boleh terus menerus berbuat demikian.

Justeru, pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengurangan pemberian subsidi secara bersasar. Pengurangan subsidi ICPT dilaksana kepada golongan berpendapatan tinggi (T20), manakala M40 dan B40 masih lagi menerima manfaat subsidi.

“Pemberian subsidi tidak dikurangkan bagi majoriti rakyat dan lebih 90 peratus tidak terkesan,” kata Anwar.

Malah, kerajaan menetapkan untuk tidak menaikkan kadar elektrik bagi industri komersial dan perindustrian voltan rendah, pertanian spesifik dan operator air dan pembetungan.

Berikutan krisis ekonomi dunia bermula Oktober 2021, kerajaan menanggung subsidi elektrik yang tinggi. Bagi tempoh Jun hingga Disember tahun ini sahaja, ia membelanjakan sebanyak RM10.8 bilion.

Melihatkan jumlah subsidi dibelanjakan, memang wajar negara beralih kepada subsidi secara bersasar, termasuk membabitkan bil elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

Selaras dengan kemampuan T20, wajar mereka bayar tarif kompetitif, manakala lebih 90 peratus penduduk merangkumi B40 dan M40 wajar dibantu menerusi subsidi ICPT bersasar.

Ketika pengumuman pusingan baharu ICPT Jun-Disember 2023, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (kini Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pengguna domestik dengan penggunaan elektrik lebih 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Kadar baharu subsidi elektrik secara bersasar itu dilaksanakan mulai Julai lalu. Dianggarkan seramai 83,000 pengguna, iaitu satu peratus pengguna domestik mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum RM187 (25 peratus).

“Namun, satu peratus ini bukan golongan T20, tetapi mereka yang menggunakan elektrik dengan penggunaan tinggi,” katanya.

Harga arang batu masih tinggi

Biarpun ketika ini harga arang batu menunjukkan trend menurun daripada paras tertinggi AS$415 satu tan pada 23 Mei 2022, ia masih memberi kesan terhadap kos penjanaan elektrik negara.

Berdasarkan harga arang batu di paras AS$119 satu tan pada 17 November 2023, kos penjanaan elektrik di Semenanjung masih tinggi kerana ia masih sekali ganda lebih tinggi daripada anggaran AS$79 satu tan diunjurkan untuk Tempoh Pengawalseliaan (RP) ketiga ICPT, iaitu Januari 2022 hingga Disember 2024.

Situasi ini memberi kesan terhadap kos penjanaan elektrik kerana Semenanjung masih bergantung sepenuhnya kepada sumber arang batu import, manakala kos gas asli berpandukan harga petunjuk Brent minyak mentah dunia.

Sektor penjanaan di Semenanjung bergantung sebahagian besarnya kepada arang batu sebanyak 57 peratus, gas asli (37 peratus), tenaga boleh baharu (RE) sebanyak 6 peratus dan baki satu peratus minyak.

Lebih 67 peratus arang batu diimport dari Indonesia, manakala lebih 13 peratus dari Australia, Russia (9 peratus) dan selebihnya Afrika Selatan.

Perkara ini akan memberi kesan langsung dalam menentukan kadar ICPT yang akan bermula Januari hingga Jun tahun depan. Ini kerana ICPT dikaji semula setiap enam bulan.

Pelaksanaan mekanisme ICPT di Semenanjung di bawah IBR adalah bagi menyelaras semula peningkatan kos bahan api dan penjanaan elektrik. IBR ini rangka kerja diiktiraf di seluruh dunia dan digunakan kebanyakan negara, termasuk di rantau ini.

Berdasarkan keadaan harga semasa arang batu dan minyak, surcaj terhadap penggunaan tidak dapat dielak. Cuma, selaras dasar kerajaan bantuan bersasar, jeda julat kWj penggunaan tertakluk kepada subsidi ICPT mungkin diturunkan.

Ini bermakna kumpulan yang tidak dapat subsidi akan lebih meluas. Pengiraan ini bukan berdasarkan kategori sama ada B40, M40 atau T20 tetapi kadar penggunaan elektrik seperti dilaksanakan pada ICPT pusingan lalu, iaitu lebih 1,500 kWj sebulan.

Begitupun, bagi semua lebih 9 juta akaun pengguna elektrik di Semenanjung, tarif blok elektrik tidak pernah berubah sejak 2014, walaupun dunia berhadapan krisis tenaga beberapa kali.

Kadar blok tarif bagi pengguna domestik yang merangkumi lebih 80 peratus pengguna ialah 200kWh pertama 21.8 sen/kWj. Seterusnya 33.4 sen/kWj bagi penggunaan dalam blok 201 – 300 kWj.

Penulis adalah Pengarang Berita BH
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373