Pemilik pusat tahfiz didakwa dera murid

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan lapan kanak-kanak yang mendakwa didera oleh sepasang suami isteri pemilik sebuah pusat tahfiz di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pasangan itu turut ditahan di pusat tahfiz dekat Taman Tun Razak, Ampang pada jam 3.45 petang.

Katanya, penahanan dibuat susulan serbuan sepasukan anggota serta pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Pada jam 6.30 petang 23 April lalu, seorang lelaki berusia 35 tahun pergi ke sekolah di pusat tahfiz itu untuk berjumpa anak lelakinya berusia tujuh tahun dan membayar yuran.

“Lelaki itu kemudian mendapati anaknya berada dalam keadaan ketakutan dan menangis sambil memeluknya serta memberitahu tidak mahu bersekolah di pusat itu lagi.

“Selepas berbuka puasa, lelaki itu membawa anaknya pulang ke rumah.

“Anaknya mendakwa ditumbuk di tengkuk oleh suspek lelaki, selain dipukul dengan rotan di kaki dan tangan.

“Suspek kedua (isteri suspek pertama) pula didakwa menampar pipinya empat kali.

“Lelaki itu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan mendapati pelajar itu mengalami kesan kecederaan baharu dan lama di keseluruhan badan.

Dalam serbuan sama, katanya, polis menyelamatkan lapan murid lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun yang mendakwa didera suspek di pusat tahfiz itu.

Beliau berkata, rakaman percakapan dan pemeriksaan perubatan ke atas murid terbabit akan dilakukan untuk mengetahui sama ada wujud unsur penderaan atau tidak.

“Mereka dihantar ke Hospital Ampang bagi pemeriksaan lanjut.

“Semakan awal mendapati pusat tahfiz yang beroperasi sejak Oktober tahun lalu itu tidak mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Polis akan memohon reman terhadap suspek terbabit di Mahkamah Majistret Ampang mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373