Peminat OKU ‘selamatkan’ Konsert Rock Kapak

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR : Berdepan jualan tiket lembap, kekangan bajet dan kelemahan promosi, Konsert Rock Kapak di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini, hampir dibatalkan.

Mendedahkan perkara itu, penganjur iaitu vokalis kumpulan Junction, Hatta, berkata disebabkan sambutan kurang memberangsangkan, pihaknya memutuskan membatalkan konsert berkenaan.

Namun, Hatta berkata, hasrat itu ditarik balik selepas melihat kesungguhan seorang peminat iaitu wanita dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) untuk menyaksikan konsert itu.

“Dua minggu sebelum konsert, kita buat keputusan batalkan acara itu. Ketika itu, kita hanya dapat jual 10 tiket.

“Namun, apabila wanita OKU terbabit hubungi dan beritahu dia bersungguh-sungguh mahu pergi menyaksikan konsert itu, kami tarik balik keputusan membatalkannya.

“Wanita terbabit lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Sepanjang perbualan kami, banyak perkara yang ditanya, termasuk lokasi konsert serta kemudahan yang disediakan untuk insan OKU sepertinya.
“Kegigihan peminat terbabit mengembalikan semula semangat kami untuk meneruskan Konsert Rock Kapak. Ketika itu, saya fikir, kalau 11 orang sahaja yang menonton, saya tidak kisah.

“Apapun saya bersyukur kerana konsert itu mendapat sambutan walaupun pada saat akhir,” katanya kepada BH Online.

Selain Junction, Konsert Rock Kapak anjuran Attah Music dan Boss Production menampilkan dua band popular seangkatan dengan mereka iaitu Meditasi dan Desire.

Konsert durasi tiga jam itu menyaksikan Junction menyampaikan koleksi lagu dipetik dari dua album mereka. Antara lagu didendangkan adalah Akan Ku Kenang, Monolog Untuk Rina, Demi Cinta Setia, Dosa, Petualang dan Alam Mimpi.

Hatta berkata, lambakan konsert pada hari sama turut memberi kesan kepada Konsert Rock Kapak.

“Situasi ini sangat tidak sihat untuk industri muzik. Saya harap dengan penubuhan Perbadanan Industri Muzik kelak, mereka dapat pantau dari aspek lambakan konsert.

“Mungkin pihak berkenaan boleh hadkan penganjuran konsert di mana pada hari sama, hanya satu atau dua konsert dibenar dianjurkan,” katanya.

Pada usia 56 tahun, vokal nyaring Hatta atau nama sebenar, Kamarul Hatta Zajarudin dan stamina masih ampuh. Biarpun kebanyakan lagu bernada tinggi, penyanyi kelahiran Kajang, itu tidak berdepan masalah menarik suaranya.

“Kalau boleh, saya memang tidak turunkan ‘key’. Sebagai penyanyi, saya rasa lebih puas apabila dapat menyanyi dalam ‘key’ asal.

“Ini membantu dari aspek penghayatan lagu itu. Nyanyian kita jadi lebih tulen,” katanya ketika ditemui selepas konsert berakhir.

Sesuai dengan konsep rock kapak, kebanyakan peminat tampil dengan gaya ranggi iaitu bercelana denim dan kulit ketat dipadankan dengan jaket, sinonim dengan aliran rock era 1980-an dan 1990-an.

Sesekali, emosi peminat tenggelam dalam nostalgia menerusi lagu rock balada seperti Biar Pedih Kasih Memanjang, Hukuman Pada Pesona dan Bidadari oleh nyanyian kumpulan Meditasi serta Bias Cinta, yang dipersembahkan Desire.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373