Bergson anggap VAR pencetus kebangkitan JDT

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tidak menjangka teknologi Video Bantuan Pengadli (VAR) bagai mencetus kebangkitan pasukan itu ketika menewaskan BG Pathum United FC 4-1 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.

Bergson yang dinobat selaku pemain terbaik perlawanan berkata, teknologi berkenaan sememangnya memberi kesan bagi membantu kebangkitan JDT meraih kemenangan dalam perlawanan selepas ketinggalan 0-1 pada babak pertama.

Dia yang sudah meledak 106 gol bersama skuad Harimau Selatan mengakui tidak menduga apabila pengadil perlawanan dari China, Ma Ning menunjuk ke arah kotak penalti pasukan lawan selepas melihat monitor khas disediakan di tepi padang.
“Memang terkejut ketika diberikan penalti kerana saya menanduk bola hasil sepakan sudut Heberty (Fernandes) dalam keadaan menutup mata jadi saya tidak nampak sama ada pemain lawan ada menyentuh bola menggunakan tangan atau tidak. Semuanya berlaku dengan pantas.

“Tetapi sistem VAR menunjuk dengan jelas bahawa pemain BG Pathum menghalang bola dengan menggunakan tangan dan kami gembira dengan keputusan pengadil perlawanan dan ia juga beri impak positif yang mengubah corak permainan kami,” katanya.

Bergson menjelaskan betapa gol sepakan penalti itu yang membawa kepada keputusan 1-1 selepas BG Pathum United membuka tirai jaringan di awal babak pertama meningkatkan lagi motivasi setiap pemain untuk menguasai permainan dan seterusnya melakar kemenangan 4-1 ke atas skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373