Pengurusan integriti bersepadu pencetus kejayaan Malaysia MADANI

Estimate Reading Time: 3 minutes

Gagasan Malaysia MADANI diperkenalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu platform menjadikan Malaysia negara membangun, sejahtera, berdaya saing serta harmoni dengan rakyat berbilang kaum dan agama.

Agenda MADANI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan sedia ada, tetapi turut menyentuh masa depan dengan mengambil kira potensi rakyat serta negara.

Gagasan itu turut disasarkan meneroka dan memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar serta turut memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.

Ke arah itu, penanda aras keenam dalam Ekonomi MADANI ditujukan untuk memperkasakan Malaysia pada kedudukan ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dikeluarkan Transparency International (TI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pemerkasaan usaha membanteras rasuah ini dilihat seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16, iaitu disasarkan mewujudkan masyarakat aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi berkesan, bertanggungjawab serta inklusif pada semua peringkat.

Apa yang pasti, usaha untuk meningkatkan CPI negara bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Semua pihak harus mengambil peranan masing-masing untuk meningkatkan imej serta persepsi dalam dan luar negara, terutama soal integriti, tata kelola dan pencegahan rasuah.

Matlamat itu mungkin dilihat sukar sesetengah pihak, namun tidak mustahil untuk dicapai. Usaha bersepadu, terancang, bersungguh-sungguh dan berterusan semua pihak pada peringkat perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat umum mampu merealisasikan usaha ini.

Di samping langkah pentadbiran serta kempen pencegahan terus dilaksanakan, inisiatif berbentuk reformasi undang-undang juga perlu diperkasakan bagi memastikan jenayah rasuah terhapus sehingga ke akar umbi dan tidak menjadi amalan atau budaya dalam kehidupan.

Misalnya, pengenalan peruntukan liabiliti korporat merujuk kepada Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu kesalahan organisasi komersial adalah satu penambahbaikan dilaksanakan bagi mengekang jenayah dalam sektor swasta.

Peruntukan akta itu mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2020, namun SPRM tidak berhenti setakat itu sahaja. Terdapat usaha terbaharu untuk memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah dalam sektor swasta dengan memperkenalkan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA) yang banyak digunakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Singapura.

Pendekatan serampang tiga mata

Umum mengetahui SPRM menggunakan pendekatan serampang tiga mata dalam membanteras jenayah rasuah di Malaysia, iaitu melalui tindakan operasi, pencegahan dan pendidikan antirasuah. Namun, satu peranan penting jarang diketahui masyarakat adalah aspek pengurusan dan penggalakan integriti sama ada dalam sektor awam dan swasta.

Aspek ini antara matlamat utama terkandung dalam Akta SPRM 2009. Peranan pengurusan integriti ini dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), antara bahagian baharu dalam SPRM. Ditubuhkan pada 1 Jun 2013, BPIA berperanan memperkukuhkan institusi dan menggalakkan pembudayaan integriti khususnya di perkhidmatan awam dan GLC.

Bagi mencapai objektif penubuhannya, BPIA diberikan tanggungjawab mengawal selia, memberi khidmat nasihat, membangunkan dasar integriti dan melaksanakan penarafan risiko bagi memastikan pengurusan integriti di sektor awam dan GLC dilaksanakan dengan teratur serta efektif mengikut fungsi teras masing-masing.

Sehingga 31 Ogos lalu, rekod BPIA menunjukkan sejumlah 522 agensi awam menubuhkan Unit Integriti (UI) pada peringkat masing-masing, manakala sejumlah 632 Unit Tadbir Urus dan Integriti (IGU) ditubuhkan pada peringkat GLC.

Pada masa sama, BPIA turut bertanggungjawab menguruskan penempatan Pegawai Kanan SPRM berwibawa sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di UI dan IGU organisasi luar.

Mereka berperanan membantu pelaksanaan dan pengurusan fungsi teras UI dan IGU dengan lancar serta teratur, pada masa sama, bertindak sebagai pegawai agensi penguatkuasaan bagi memberi perlindungan selaras dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Penempatan mereka itu secara langsung membantu organisasi berkaitan mencegah rasuah, salah laku dan penyelewengan dengan lebih baik serta berkesan, di samping memantapkan pengurusan integriti dan tata kelola organisasi terbabit.

Sehingga 2 Oktober lalu, seramai 77 pegawai SPRM ditempatkan secara kader dan pinjaman di organisasi luar. Daripada jumlah itu, 36 pegawai SPRM ditempatkan di kementerian, 27 di jabatan, seorang orang di pihak berkuasa tempatan, lima orang di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), seorang orang di badan berkanun manakala tujuh lagi ditempatkan di GLC.

Tuntut komitmen kepemimpinan

Pengurusan integriti menerusi penubuhan UI dan IGU dalam sektor awam dan GLC adalah satu inisiatif dan langkah positif ke hadapan wajar dipuji. Namun, penubuhannya tidak akan memberikan impak jangka panjang dihasratkan dalam membangunkan Malaysia MADANI tanpa mewujudkan komitmen kepemimpinan berterusan.

Pihak terbabit perlu bekerjasama dengan SPRM melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di organisasi masing-masing.

Pengukuhan dan pembudayaan integriti perlu dilaksanakan dengan terancang dan penuh keikhlasan, di samping sentiasa menambah baik dan memantapkan tata kelola organisasi dari semasa ke semasa mengikut persekitaran sentiasa berubah dan mencabar.

Salah satu contoh komitmen kepemimpinan dapat dilihat adalah penganjuran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 Kerajaan Sabah dengan kerjasama SPRM bermula semalam berakhir esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Penganjuran KITA ini dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dihasratkan akan menjadi agenda tahunan, diharap memperkasa agenda integriti dalam kalangan penjawat awam serta swasta.

Konvensyen bertemakan ‘Integriti Teras Perkhidmatan Madani’ menggariskan objektif untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keunggulan sahsiah diri peserta di samping memberi pendedahan serta memperkaya pengalaman peserta dalam memantapkan pembudayaan nilai tata kelola, integriti dan antirasuah melalui perkongsian ilmu, inspirasi kejayaan serta budaya berprestasi tinggi.

Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373