Ekonomi MADANI bebaskan Malaysia daripada jerat pendapatan sederhana

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Rencana dasar Ekonomi MADANI memerlukan tekad dan komitmen jitu dalam pelaksanaannya untuk membebaskan Malaysia daripada terjerat sebagai negara berpendapatan sederhana untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour, berkata ekonomi Malaysia berada di persimpangan dan dasar ekonomi dan kewangan hari ini bakal menentukan hala tuju dan trajektori pembangunan negara pada masa hadapan.

“Jurang di antara golongan yang kaya dan miskin semakin meluas, dan ia perlu ditangani dan diimbangi dengan pembangunan masyarakat yang inklusif, adil, saksama serta mengekalkan integriti sosial,” katanya pada Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD anjuran BNM buat julung kalinya di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Abdul Rasheed berkata, sektor kewangan sesungguhnya berperanan penting sebagai memangkin pertumbuhan ekonomi dengan sektor kewangan menjadi pengantara antara mereka yang berpendapatan lebih dengan mereka yang memerlukan dana.

Malah, jelasnya, sektor kewangan juga menyediakan modal dan kredit kepada ekonomi, memudahkan pelbagai jenis transaksi kewangan dan memungkinkan pengurusan risiko melalui pelbagai instrumen dan juga produk.

Katanya, hasrat BNM ialah untuk membangunkan sektor kewangan yang progresif, teguh, telus dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kemajuan yang lebih adil, setara, bermakna dan inklusif buat rakyat negara ini.

“Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 adalah rencana Bank Negara Malaysia ke arah matlamat ini. Pelan ini lahir dengan tiga objektif utama iaitu ‘kewangan untuk semua’, ‘kewangan untuk transformasi’ dan ‘kewangan untuk kelestarian’.

“Pelan ini bermisi untuk menjadikan sektor kewangan lebih dinamik demi memenuhi keperluan ekonomi dan menjadikannya lebih terangkum, memberi nilai kepada pihak berkepentingan dan adil kepada pengguna,” katanya.

Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD dianjurkan BNM untuk menyediakan platform mengadakan dialog bagi mengukuhkan lagi sinergi dan komitmen terhadap pembangunan sosio ekonomi mampan melalui kewangan sosial.

Lebih 300 rakan pelaksana sedia ada dan bakal rakan pelaksana hadir ke majlis itu yang terdiri daripada institusi kewangan, Majlis Agama Islam Negeri, syarikat korporat, agensi kerajaan serta syarikat

berkaitan kerajaan.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373