Penjaja kecil tak perlu kelulusan CIMS untuk beroperasi – KPKT

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR : Semua penjaja kecil tidak perlu mendapatkan kelulusan melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 untuk terus beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) mulai semalam hingga 14 Jun depan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka memadai hanya dengan menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Penjaja kecil di kawasan PBT yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara, mereka tidak perlu untuk mendapatkan kelulusan melalui CIMS, memadai hanya dengan menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT.

“Sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan penjaja kecil antara sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP kali ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan, setakat semalam sebanyak 517,144 syarikat dengan sejumlah 9.67 juta tenaga kerja mendaftar di bawah CIMS 3.0.

Sebanyak 95,142 syarikat sudah memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa PKP dengan pematuhan ketat kepada SOP baharu.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373