Peruntukan sama rata wakil rakyat wujud keseimbangan, beri isyarat positif

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pemberian peruntukan sama rata kepada wakil rakyat termasuk mewakili pembangkang mampu mewujudkan signal positif kepada pentadbiran, selain memberi gambaran jelas bahawa kerajaan memberi layanan adil dan saksama kepada semua pihak.

Justeru, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata kerajaan wajar memberikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat pembangkang demi mewujudkan keseimbangan.

Beliau yang juga Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara, berkata ini kerana kerajaan yang terbentuk selepas pilihan raya bertanggungjawab terhadap keseluruhan rakyat, termasuk di kawasan dimenangi pembangkang.

“Kalau tanya mengenai kewajaran (peruntukan sama rata antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang), ia terletak kepada interpretasi kerajaan sedia ada.

“Secara moral, prinsip dan perundangan, kerajaan mewakili semua rakyat di negara ini tanpa mengira sama ada sesetengah pihak menyokong atau tidak mengundi kerajaan yang terbentuk selepas pilihan raya.

“Tiada apa-apa yang akan merugikan kerajaan, sebaliknya ia akan mewujudkan sentimen positif terhadap pentadbiran kerana berlaku adil sekali gus memberi kelebihan kepada parti menerajui Putrajaya pada pilihan raya seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rundingan awal wakil Perikatan Nasional (PN) bersama Datuk Seri Fadillah Yusof bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

PN minggu lalu, melantik tiga wakil bagi menyertai rundingan itu iaitu Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada 4 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulangi kesediaannya memberi peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang, seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter diluluskan, selain menasihati Ahli Parlimen pembangkang untuk bersedia berdepan sebarang kebarangkalian, jika enggan berunding.

Ditanya kemungkinan kerajaan lebih gemar menyalurkan peruntukan menerusi belanjawan, Nik Ahmad Kamal bagaimanapun mengakui kurang bersetuju dengan alasan sedemikian.

Beliau menjelaskan, perincian belanjawan bersifat terlalu umum dan mungkin tidak mewakili semua rakyat yang mendiami kawasan dimenangi pembangkang.

“Ia berbeza dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang memang dikhususkan kepada penduduk di kawasan berkenaan. Ini juga boleh memastikan peruntukan disalurkan secara terus kepada rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan idea menggubal akta khusus berkaitan agihan peruntukan kepada wakil rakyat, bagi mengelak salah faham pada masa hadapan.

“Cadangan ini saya lihat baik untuk dilaksanakan kerana ia akan memberikan takrifan jelas berhubung perkara ini, termasuk parameter bagi menentukan jumlah peruntukan perlu diagihkan terhadap setiap wakil rakyat,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373