Peruntukan kepada Ahli Parlimen mesti adil, sama rata

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen mestilah sama rata, tanpa mengira mereka di blok pembangkang atau kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kerajaan perlu menepati janjinya untuk memperjuangkan dasar yang adil, dengan memberi peruntukan yang sama kepada semua Ahli Parlimen.

“Jika hanya peruntukan perbelanjaan pentadbiran diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang, ia menunjukkan kerajaan memungkiri janjinya sebelum ini untuk bersikap adil.

“Kami menggesa supaya jumlah yang diberikan mesti sama dengan Ahli Parlimen kerajaan sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

“Ini bukan janji kami tetapi ia adalah ikrar kerajaan, yang menyatakan untuk memperjuangkan dasar yang adil,” katanya yang dipetik sebuah portal.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan Kerajaan Perpaduan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, rundingan berkaitan peruntukan berkenaan sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Di peringkat awal, kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran. Ketika ini, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.

“Jumlah peruntukan hanya dapat diputuskan selepas rundingan terbabit selesai dan kemudiannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jika mereka hanya diberikan peruntukan pentadbiran, ia tidak dapat menepati asas untuk wakil rakyat menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kawasan masing-masing.

Memberi contoh, Tuan Ibrahim berkata, jika kawasannya ditimpa bencana, kebakaran atau ribut, sudah tentu peruntukan pembangunan di kawasan itu diperlukan segera bagi membantu penduduk yang terjejas.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan berhubung perkara itu. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment