PGA tahan 4 lelaki tempatan disyaki cuba seludup PATI

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya memberkas empat tekong darat warga tempatan disyaki cuba menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI), di sini.

Kesemua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an itu ditangkap menerusi dua Op Benteng COVID-19 berasingan, kelmarin dan semalam.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata, berkata tiga suspek terbabit ditahan kira-kira jam 11.40 malam tadi, manakala seorang lagi jam 9.40 malam kelmarin.

Terdahulu pada malam tadi, beliau berkata, pasukan Unit Risik, Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak, telah mengekori dua kenderaan dari Jalan Kampung Tebekang hingga ke Jalan Serian-Kuching dan simpang ke Pasar Baki Jalan Lama.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, anggota menahan tiga lelaki tempatan dan lima lelaki warga Indonesia yang tiada dokumen sah untuk memasuki Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu, beliau berkata, anggota turut merampas dua kenderaan digunakan untuk membawa PATI terbabit, lima telefon bimbit dan wang tunai RM5,780.

Mancha berkata, seorang lagi suspek berusia 39 tahun ditahan di kawasan parkir kenderaan di bawah Jambatan Sadong, Jalan Serian-Sri Aman, oleh pasukan Cawangan Risik Batalion 11 PGA yang bertindak atas maklumat.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan ditahan itu, anggota memberkas seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati semua PATI itu tidak memiliki permit kerja yang sah dan tinggal melebihi tempoh di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang digunakan suspek dalam kejadian itu turut dirampas.

Katanya, semua tangkapan dan hasil rampasan terbabit kemudian diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut.

Dalam kes berasingan pula, Mancha berkata, seorang lelaki berusia 54 tahun ditangkap kerana disyaki cuba menyeludup 31 tong gas ke Indonesia.

Beliau berkata, suspek ditahan ketika pasukan Task Force Op Benteng COVID-19, Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak, menjalankan rondaan di sempadan Malaysia/Indonesia, Kampung Raso (Jalan Ladang Sawit Raso 2), Lundu, jam 6.15 petang kelmarin.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373