Tekong darat cuba sogok anggota PGA ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SABAK BERNAM – Seorang tekong darat ditahan kerana cuba menyogok anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih wang tunai RM4,000 selepas kegiatan penyeludupan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dilakukannya terbongkar kelmarin.

Pegawai Pemerintahnya, Superintenden Zulafendy Hassan berkata, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu ditahan dalam operasi di Jalan Parit Changkat pada jam 10.45 malam.

“Lelaki terbabit pada mulanya cuba menawarkan sebanyak RM3,000 kepada anggota PGA yang terlibat dalam serbuan itu.

“Lelaki terbabit kemudian menambah tawaran tambahan sebanyak RM1,000 lagi, tetapi anggota kami menolak dengan tegas sambil memaklumkan perbuatan itu merupakan satu kesalahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulafendy berkata, dalam operasi sama, seorang lagi rakannya berusia 32 tahun yang juga tekong darat ditahan selepas didapati bersama sembilan lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak warga Indonesia cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan di pesisir pantai berdekatan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas dua buah kereta, telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai Malaysia dan Indonesia bernilai RM17, 835.42 dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM84,516, 042.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen,” katanya.

-SINAR HARIAN

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373