PropertyGuru ambil alih iProperty Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: PropertyGuru, syarikat teknologi hartanah atau ‘proptech’ terkemuka di Asia Tenggara mengambilalih kesemua saham dalam entiti operasi Kumpulan REA di Malaysia dan Thailand.

Kumpulan REA mengendalikan iProperty.com.my dan Brickz.my di Malaysia serta thinkofliving.com dan Prakard.com di Thailand.

Berdasarkan perjanjian yang dimeterai, Kumpulan REA akan mendapat 18 peratus kepentingan ekuiti dalam Kumpulan PropertyGuru yang diperbesar dan melantik seorang pengarah ke dalam Lembaga Pengarah.

PropertyGuru berkata, salah satu matlamat utama urus niaga itu adalah untuk merancakkan pembangunan industri ‘proptech’ di Malaysia dan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang Julai ini.

Ia berkata, penambahan iProperty.com.my dan Brickz.my akan memperkukuh keupayaan PropertyGuru Malaysia untuk menyediakan pasaran digital yang paling pelbagai, set data yang paling komprehensif, cerapan yang boleh diambil tindakan dan perkhidmatan untuk menyokong aspirasi pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my adalah dua platform pasaran hartanah terkemuka dan pesat berkembang di Malaysia, dengan kedua-dua jenama itu mempunyai khalayak yang tersendiri dan saling melengkapi, justeru urus niaga akan menyaksikan kedua-dua jenama dikekalkan.

“Pengambilalihan ini akan membolehkan kedua-dua syarikat menggabungkan sumber, memacu inovasi, dan menyediakan penyelesaian digital yang lebih baik kepada pencari rumah, ejen dan pemaju hartanah.

“Ia juga membolehkan kumpulan berkongsi penyelesaian dan cerapan data terbaik serta membawakan ketelusan dan akses kepada pasaran hartanah Malaysia memandangkan langkah ini akan mempermudah pengalaman pembelian bagi pencari rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan PropertyGuru, Hari V. Krishnan, berkata pengambilalihan itu adalah peristiwa penting dalam sejarah PropertyGuru dan peluang yang sangat bermakna untuk menyepadukan jenama tempatan dipercayai di Malaysia selain membuktikan komitmen syarikat itu terhadap pasaran berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya beroperasi selama sedekad dan Malaysia menyumbang kepada kepentingan strategik kumpulan, daripada pelancaran tawaran nilai teknologi kewangannya yang pertama sehingga menjadi pusat operasi bagi fungsi utama seperti kewangan.

“Dengan pengambilalihan ini, kami bukan sekadar menggandakan tapak operasi di Malaysia, tetapi juga akan akan meneruskan pelaburan kami seiring dengan peranan penting yang dipegang oleh negara ini bagi PropertyGuru,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373