Putin angkat sumpah sebagai Presiden Russia untuk penggal kelima hari ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

MOSCOW: Vladimir Putin akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Russia untuk penggal kelima yang akan berlangsung di ibu negara, Moscow hari ini, lapor Agensi Anadolu.

Majlis itu yang dijadualkan berlangsung di Kremlin, menandakan permulaan penggal selama enam tahun untuk pentadbiran Putin yang memenangi 87 peratus undi semasa Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada Mac.

Susulan majlis angkat sumpah itu, kerajaan semasa Russia akan digantikan oleh sebuah kerajaan baharu dengan kelulusan parlimen negara itu menerusi satu pindaan perlembagaan pada 2020.

Dalam hal ini, Putin akan mengemukakan calon perdana menteri ke Duma, dewan terendah Parlimen Russia untuk kelulusan.

Biarpun parlimen mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon dikemukakan, Putin boleh melantik perdana menteri secara terus tanpa kelulusan parlimen sekiranya wakil rakyat menolak calon dikemukakan tiga kali.

Dalam kes sedemikian, Putin juga mempunyai hak untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya parlimen.

Menurut media tempatan, penyandang Perdana Menteri Mikhail Mishustin dikatakan akan dilantik sekali lagi kerana beliau dilihat sebagai ketua kerajaan yang berjaya berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara biarpun konflik berterusan Russia-Ukraine dan sekatan ekonomi oleh Barat.

Putin akan melantik secara langsung menteri luar, pertahanan, kehakiman, situasi darurat dan dalam negeri dengan nasihat Majlis Persekutuan, dewan tertinggi Parlimen Russia.

Dikatakan Menteri Luar Sergey Lavrov dan Menteri Pertahanan Sergey Shoygu akan mengekalkan jawatan masing-masing sementara perubahan dijangka tidak berlaku kepada menteri berkaitan ekonomi dan kewangan.

Bagaimanapun disebabkan kritikan orang awam terhadap kementerian pendidikan, sukan dan dasar kebudayaan, mungkin berlaku perubahan kepada kementerian berkaitan dan kemungkinan kementerian belia akan diwujudkan.

Berdasarkan undang-undang Russia, proses meluluskan kerajaan baharu boleh berlanjutan paling lama sehingga 20 Mei, walaupun dijangka senarai calon perdana menteri dan majlis menteri akan dikemukakan kepada parlimen dengan segera selepas majlis itu.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373