Remdesivir, ubat anti malaria tak berkesan rawat Covid-19, kata Hisham

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Penggunaan ubat antivirus remdesivir didapati tidak berkesan dalam merawat pesakit Covid-19 serta tidak membantu mengurangkan kes kematian akibat virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian klinikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu “Solidarity trial” turut membuktikan ubat anti malaria hydroxychloroquine, serta lopinavir dan ritonavir tidak berkesan dalam merawat jangkitan itu.

“Jadi, kita dapat simpulkan remdesivir tak berkesan untuk kita merawat pesakit Covid-19 dari 3 sudut, iaitu kematian, kemasukan ke hospital atau keperluan bantuan pernafasan.

“Dulu, kita tiada bukti yang kukuh, tapi hari ini kita sudah ada kajian. Bukan hanya di Malaysia, tapi ia juga melibatkan negara di bawah payung WHO,” katanya dalam sidang media semalam.

Sebelum ini, semua ubat itu (remdesivir, hydroxychloroquine, lopinavir dan ritonavir) digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, Hisham berkata, ubat antivirus dexamethasone yang menghalang radang paru-paru didapati berkesan dan memberi hasil positif kepada kesihatan pesakit.

Beliau berkata, kajian klinikal itu melibatkan pesakit Covid-19 dari 30 negara, termasuk Malaysia.

Mengenai vaksin, Hisham berkata, Kementerian Kesihatan perlu melihat kepada data maklumat keberkesanan vaksin serta mengkaji kesan sampingannya sebelum mengesyorkan penggunaannya kepada rakyat.

“Kita perlu lihat keberkesanan vaksin dan komplikasinya kerana kalau komplikasi tinggi…kita ada isu untuk gunakan vaksin tersebut kerana keselamatan amat penting untuk KKM.”

Mengulas penglibatan Malaysia dalam “Covid-19 Vaccine Global Access” (Covax) dalam membangunkan vaksin, Hisham berkata, KKM bersetuju menyertai kumpulan itu kerana dapat berbincang dengan syarikat dan negara untuk perolehan vaksin.

Menerusi Covax, katanya, Malaysia bebas mengadakan perbincangan dengan negara atau syarikat pengeluar vaksin.

“Selain itu, ada beberapa isu perlu diperhalusi dalam perolehan vaksin, iaitu kenapa vaksin belum ada (wujud), tetapi harganya telah ditetapkan. Sekiranya berlaku komplikasi penggunaan vaksin, KKM perlu menanggungnya dan bukannya syarikat (pengeluar vaksin),” katanya sambil menambah isu itu perlu diperhalusi lagi. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373