Kombinasi ubat anti-malaria berkesan rawat COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Hasil kajian di New York menunjukkan kombinasi ubat anti-malaria, hydroxychloroquine dan makanan tambahan, zink sulfat mampu merawat COVID-19 secara lebih berkesan.

Projek penyelidikan oleh NYU Grossman School of Medicine itu disiarkan di laman pra cetak perubatan semalam, dan ini bermaksud ia belum dikaji semula.

Dalam analisis kajian itu, penelitian membabitkan 900 pesakit COVID-19 dengan sebahagian daripada mereka diberikan tiga ubat sekali gus iaitu zink sulfat, hydroxychloroquine dan antibiotik azithromycin.

Baki daripada pesakit hanya diberikan kombinasi dua ubat iaitu hydroxychloroquine dan azithromycin.

Mereka yang dirawat dengan ketiga-tiga kombinasi ubat sekali gus direkodkan 1.5 kali lebih cepat pulih dengan 44 peratus daripadanya didapati kurang terdedah kepada risiko kematian jika dibandingkan dengan pesakit yang menerima cuma dua daripada ubat berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak mengubah purata masa pesakit berada di hospital iaitu selama enam hari, selain masa untuk penggunaan ventilator bagi pesakit dengan masalah pernafasan, kira-kira lima hari.

Penyelidik kanan dan pakar penyakit berjangkit, Joseph Rahimian, memberitahu AFP, kajian berkenaan adalah yang pertama seumpamanya membandingkan kombinasi kedua-dua ubatan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata eksperimen secara terkawal masih perlu dilaksanakan bagi membuktikan manfaatnya, sekali gus mengelakkan daripada timbul sebarang keraguan.

“Langkah seterusnya yang wajar diambil adalah melakukan satu kajian prospektif untuk melihat sama ada kesan sama terhadap pesakit yang diberikan zink sulfat untuk diteliti dan dibandingkan,” katanya.

Hydroxychloroquine sebelum ini dicadangkan sebagai kaedah bagi merawat virus SARS-CoV-2 kerana ia mempunyai sifat anti virus yang telah terbukti di makmal, tetapi tidak kepada manusia.

Dalam kajian terdahulu, zink sulfat dikatakan mampu mengurangkan tempoh masa bagi individu yang mengalami selesema.

– AFP

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373