Rundingan agihan kerusi PH-BN diteruskan hujung minggu ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masih belum selesai dan diteruskan semula selepas cuti Aidilfitri selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, G Manivannan, berkata selepas rundingan kerusi itu selesai, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa yang akan meneliti strategi pilihan raya, logo dan manifesto untuk PRN di enam negeri terbabit.

“Pada masa ini saya boleh sahkan rundingan mengenai pembahagian kerusi ini masih belum selesai yang membabitkan semua enam negeri untuk PRN nanti,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, antara formula pengagihan kerusi adalah untuk mengekalkan status-quo semua kerusi di menangi PH Februari lalu, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Berdasarkan peraturan pilihan raya Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN, sekali gus dengan keputusan itu, PRN dijangka diadakan Julai ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka PRN bagi enam negeri akan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

Tanpa menjelaskan sebab rundingan itu belum selesai, Manivannan berkata, walaupun rundingan masih diteruskan, ini tidak bermakna kedua-dua parti tidak bersedia menghadapi PRN.

Katanya, kesediaan menghadapi PRN sudah dimulakan sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Untuk memasuki gelanggang PRN ini sememangnya kita sudah bersedia dan mendapat mandat supaya rundingan kerusi diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan kita bergerak ke proses seterusnya,” katanya sambil mengakui tidak banyak pertikaian dalam rundingan sebelum ini.

Beliau berkata, rundingan pengagihan kerusi setakat ini berjalan lancar tanpa pertikaian besar. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373