Peruntukan Ahli Parlimen pembangkang hanya babit perbelanjaan pentadbiran

Estimate Reading Time: < 1 minute

BALING: Kerajaan Perpaduan secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang berkenaan sedang dilakukan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Di peringkat awal, kita setuju (beri peruntukan) untuk perbelanjaan pentadbiran. Ketika ini, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.

“Jumlah peruntukan hanya dapat diputuskan selepas rundingan terbabit selesai dan kemudiannya akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya selepas meninjau kerja pembinaan rumah mangsa banjir di Desa KEDA Sadek, di sini.

Fadillah sebelum ini memaklumkan, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar, tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau yang ditugaskan berunding bersama wakil pembangkang berhubung isu itu, dilaporkan berkata, kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran kerajaan diketuai Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai proses pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau menjelaskan, ia masih diteruskan.

“Kita hampir memuktamadkan proses rundingan pembahagian kerusi (antara BN dan PH), di Kedah ia (rundingan) hampir selesai.

“Bagi negeri lain, saya akan umumkan apabila melakukan kunjungan ke negeri berkenaan tidak lama lagi,” katanya yang juga Pengerusi BN.

Sebanyak enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka mengadakan PRN pada Julai ini, dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkemungkinan dibuat pada hujung Jun. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment