Sedih ada, gembira pun ada – Azeem

Estimate Reading Time: 2 minutes

HANGZHOU: Tiada apa yang mampu untuk diluahkan selain rasa kecewa apabila mengetahui penyertaan kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara di temasya Sukan Asia Hangzhou dibatalkan, malam tadi.

Namun mereka memanjatkan rasa syukur apabila kuartet 4x100m wanita dianugerahkan pingat gangsa.

Mewakili rakan seperjuangan yang lain, pelari negara Muhammad Azeem Fahmi meluahkan kekecewaan itu selepas mengetahui perkara berkenaan.

“Saya sendiri tak tahu nak cakap apa. Sebab saya sedih dan mungkin betul bukan rezeki kami. Tapi Allah gantikan rezeki itu kepada pasukan wanita dengan kedudukan podium. Alhamdulillah dan tahniah buat mereka,” katanya.

Kuartet negara dibarisi Khairul Hafiz Jantan sebagai pelari pertama diikuti Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Fahmi itu merekodkan 39.19 saat (s) untuk menamatkan saingan di tangga kelima secara keseluruhan.

Hanya 0.10s memisahkan rekod mereka dengan rekod kebangsaan iaitu 39.09s yang dilakar pada temasya Sukan SEA Hanoi dua tahun lalu.

Pingat emas acara itu dimenangi China dengan catatan 38.29s sementara kuartet Jepun dengan catatan 38.44s memenangi pingat perak.

Gangsa menjadi milik Korea Selatan dengan catatan 38.74s.

Namun penyertaan kuartet lelaki negara dibatalkan susulan kesalahan pencerobohan lorong yang dilakukan atlet negara pada final di Stadium Olimpik Hangzhou.

Berdasarkan keputusan rasmi di laman Sukan Asia 2022, kuartet negara didapati melakukan kesalahan TR17.3.1 iaitu melakukan pencerobohan lorong sekali gus menyaksikan kedudukan kelima menjadi milik kuartet Indonesia.

“Kami pun tak tahu pelari mana yang buat kesilapan, mungkin pelari pertama atau ketiga kerana pelanggaran garis boleh terjadi untuk pelari di bahagian selekoh.

“Peraturan mengatakan kalau terpijak garisan yang dalam dengan kaki kiri ia dikira memendekkan larian kerana melalui selekoh dalam dan itu alasan yang dicatatkan dalam keputusan rasmi.

“Memang sedih kerana ini adalah catatan masa ketiga terpantas yang pasukan berganti-ganti catatkan untuk tahun ini,” katanya.

Azeem yang sebelum itu meraih pingat gangsa dalam acara pecut 100m berkata, Allah sudah mengaturkan perancangan dan memberikan sesuatu itu pada masa yang tepat.

Mereka kini menegaskan akan kembali untuk terus memburu masa lebih pantas selepas ini.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373