Selepas 11 penggal tanding PRU, kenapa Tun M tak bersaing pada PRN

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEPANG: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menegaskan beliau tidak peduli berapa lanjut pun usianya untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

Bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun yang ketika itu mengetuai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sebagai pengerusi, dipetik berkata, beliau bukan tidak mahu melepaskan kerusi Parlimen itu, hanya mahu menggantikan kerajaan lebih baik di bawah pentadbirannya jika menang PRU.

Namun pada PRU 19 November itu, Dr Mahathir menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira, hanya mendapat 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam saingan lima penjuru.

Beliau berkecimpung dalam bidang politik pada 1964, bertanding dan memenangi kerusi Kota Setar pada PRU 1964.

Pada 1965, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan pada PRU 1969, Dr Mahathir bertanding PRU sekali lagi di kawasan sama, tetapi ditewaskan oleh wakil PAS.

Beliau disingkirkan daripada parti itu pada 26 September 1969 kerana mengkritik Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Selepas diterima kembali UMNO pada 7 Mac 1972 dan terpilih sebagai Ahli MT parti itu pada 25 Jun 1972, beliau kemudian bertanding serta menang pada PRU 1974 di kawasan Parlimen Kubang Pasu.

Mewakili kawasan Parlimen berkenaan sehingga 2004, Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, masing-masing dari 1981 hingga 2003 dan dari 2018 hingga 2020.

Hari ini, beliau mengesahkan tidak akan bertanding pada PRN yang akan datang, sebaliknya mahu lebih aktif memberi sokongan dalam gerakan Proklamasi Melayu

“Saya tidak akan bertanding pilihan raya, tapi akan aktif beri sokongan dalam gerakan orang Melayu yang mahu bahagian mereka dalam negara ini.

“Mereka yang bimbang negara ini akan jadi milik orang lain, bukan lagi negara milik orang Melayu, tapi negara berbilang kaum yang menolak orang Melayu ke bawah dan jadi lebih miskin.

“Itu objektif saya dan bukan untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Enam negeri terbabit PRN yang dijangka Ogos depan, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dikuasai Perikatan Nasional (PN), selain Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373