Serangan di dua pos keselamatan di selatan Thailand: 15 maut, empat cedera

Estimate Reading Time: 2 minutes

YALA- Seramai 15 individu termasuk dua wanita maut, manakala empat orang lagi mengalami kecederaan dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di dua pos kawalan keselamatan di selatan Thailand semalam.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mej Jen Pol Prabpal Meemongkol berkata polis menerima laporan mengenai pos kawalan keselamatan di Kampung Thung Sadao dan Kampung Thanglum Mukim Lampaya yang dipercayai diserang oleh kira-kira 20 anggota kumpulan bersenjata, pada kira-kira pukul 10.15 malam (waktu tempatan).

Beliau berkata antara yang maut dalam serangan itu adalah enam anggota sukarelawan, termasuk sepasang suami isteri, tiga penolong ketua kampung dan seorang doktor desa yang sedang bertugas di pos kawalan keselamatan itu, manakala lima lagi adalah orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Berdasarkan laporan, anggota sukarelawan yang sedang bertugas di dua pos kawalan keselamatan itu telah diserang oleh kumpulan anggota bersenjata dan menyebabkan berlaku kejadian berbalas tembakan yang sengit. Selain itu, bom buatan sendiri turut diletupkan, yang mencederakan orang awam di tempat kejadian.

“Lapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tujuh lagi di Hospital Yala. Empat lagi yang cedera kini dirawat di hospital sama. Kumpulan penyerang turut melarikan lapan laras senjata dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya dua yang cedera dalam kejadian itu kini dalam keadaan kritikal, manakala dua lagi stabil.

Prabpal berkata jarak antara kedua-dua pos berkenaan adalah sekitar 3 kilometer, dan menurutnya kumpulan penyerang itu turut mengebom tiang elektrik, membakar tayar dan menabur paku di sepanjang Jalan Lampaya-Lammai untuk menyukar usaha pihak berkuasa menjejaki mereka.

Unit pemusnah bom turut menemui sebutir bom buatan sendiri seberat antara 5 dan 10 kilogram dalam satu kotak besi di tepi jalan, dan ia kemudiannya dimusnahkan.

Sementara itu, Jurucakap Tentera Divisyen ke-empat Kol Pramote Prom-in berkata pihak berkuasa telah mengerah anggota polis untuk menjejaki kumpulan anggota bersenjata itu.

“Polis percaya ada anggota kumpulan itu turut mengalami kecederaan dalam insiden berbalas tembakan selepas menemui kesan darah di beberapa lokasi,” katanya.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373