Skuad berbasikal trek para raih gangsa di Glasgow

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek para negara menutip tirai aksi di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia dengan memenangi pingat gangsa menerusi acara pecut berpasukan campuan B (cacat penglihatan) di Glasgow, Scotland, awal pagi tadi.

Pasukan dibarisi Nur Suraiya Zamri-Farina Shawati Adnan (pengemudi) dan Khairul Hazwan Wahab-Khairul Adha Rasol (pengemudi) mencatat masa 51.393 saat (s) bagi mengatasi Amerika Syarikat (51.990s) pada aksi penentuan tempat ketiga di Velodrom Chris Hoy.

Catatan dirakam pelumba negara itu menyaksikan mereka mengatasi rekod peribadi terbaik 52.415s yang dilakukan ketika kejohanan sama di Paris, Perancis tahun lalu.

Britain memenangi emas dengan catatan 49.992s untuk menewaskan Itali (51.264s) yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Jurulatih berbasikal para negara, Sallehuddin Mohd Noh, berkata penyertaan pada kejohanan kali ini juga adalah kejohanan wajib untuk mengekalkan dua slot kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

“Alhamdulillah. Hari terakhir bagi sukan para trek ini kita tamatkan dengan kejayaan meraih pingat gangsa.

“Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan mendoakan kejayaan kami di sini dan juga kepada yang terbabit secara langsung atau tidak langsung untuk mengiringi kejayaan yang dikecapi di sini,” katanya.

Pasukan para negara selepas ini akan mengalihkan fokus menyertai acara lebuhraya yang akan berlangsung di Dumfries, Scotland esok.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373