Tiga pingat lagi untuk capai sasaran

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU: Hari keempat Sukan Para Asia Hangzhou 2022 semalam menyaksikan Malaysia menambah empat pingat secara teknikal, menjadikan baki tiga pingat lagi untuk mencapai sasaran kontinjen negara pada temasya itu.

Malaysia kini mengumpul tujuh emas, 12 perak dan 13 gangsa serta masih berada dalam landasan tepat bagi melengkapkan sasaran 35 pingat, berbaki sehari lagi sebelum temasya empat tahun sekali itu melabuhkan tirai malam esok.

Pingat perak semalam diraih dalam sukan tenis kerusi roda bagi acara beregu lelaki menerusi Abu Samah Borhan dan Mohamad Yusshazwan Yusoff di Pusat Tenis Sukan Olimpik Hangzhou.

Biarpun tewas di tangan gandingan Korea Selatan Han Sung Bong-Im Ho Wan 0-2 pada perlawanan penentuan emas, beregu negara berjaya menamatkan penantian 13 tahun skuad tenis berkerusi roda meraih pingat pada temasya itu.
Di Velodrom Chun’ An Jieshou, skuad berbasikal trek menyumbang gangsa menerusi Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais-Nurul Suhada Zainal (jurumudi) dalam acara ujian masa wanita B (masalah penglihatan) apabila menamatkan saingan dengan catatan 29 minit 19.38 saat.

Kem badminton negara mengesahkan dua pingat gangsa masing-masing dalam acara perseorangan lelaki WH1 (kecacatan fizikal) dan beregu lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Gimnasium Binjiang.

Muhammad Ikhwan Ramli memastikan gangsa selepas tewas di tangan pemain China, Qu Zimo pada separuh akhir kelmarin, namun pengesahan rasmi hanya dibuat semalam.

Beregu lelaki negara Cheah Liek Hou-Muhammad Fareez Anuar menambah gangsa, selepas tewas pada separuh akhir kepada gandingan Indonesia, Dheva Anrimusthi-Hafizh Brilliasyah semalam, namun pengesahan rasmi hanya akan dibuat hari ini.

Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat hari ini dengan tumpuan terarah kepada beberapa sukan yang bakal menjadi pelengkap kepada sasaran 35 pingat antaranya badminton, olahraga dan berbasikal trek.

Tuan rumah China kekal mengungguli tangga teratas carta pungutan pingat dengan 157 emas, 128 perak dan 108 gangsa diikuti Iran (32-36-28) dan Jepun (30-33-41).
-BERNAMA
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373