Sudah kenal pasti negara mulakan gelembung perjalanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sudah mengenal pasti beberapa negara untuk dimulakan aktiviti gelembung perjalanan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementerian itu juga bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan berkaitan lain bagi membuat persiapan pelaksanaannya.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa negara untuk kita mulakan gelembung perjalanan dan kita juga bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti terbabit.

“Kita bagaimanapun menunggu untuk sempadan kedua-dua negara dan negara lain dibuka,” katanya pada sidang media selepas program Siri Jerayawara Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Meet In Malaysia bertempat di SICC, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Guandee Kohoi dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin.

Sementara itu, Jafry ketika mengulas mengenai perkembangan gelembung perjalanan Sabah-Singapura berkata, perbincangan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

“Sabah juga mengalu-alukan mana-mana negara yang berminat dengan konsep gelembung perjalanan boleh membuat permohonan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, Jafry berkata, Sabah akan memperhebatkan promosi industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dengan memperkenalkan program ‘Be Here For You’

“Kementerian saya menerusi Lembaga Pelancongan Sabah telah memperkenalkan program ‘Be Here For You’ yang menawarkan sokongan dalam bentuk kewangan sebanyak RM3,000 sehingga RM100,000 dengan syarat minimum 30 peserta dan menginap dua malam di Sabah sehingga hujung tahun ini.

“Industri MICE juga disenaraikan dalam pelan inisiatif Sabah Maju Jaya yang membuktikan kerajaan negeri komited memastikan ia menjadi penyumbang ekonomi penting kepada Sabah.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun lalu, Sabah menganjurkan 128 program MICE yang membabitkan 18,000 peserta,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373