Sunway Malls bina dua pusat beli-belah baharu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sunway Malls sedang membina dua lagi pusat beli-belah baharu iaitu Sunway Square di Sunway City Kuala Lumpur yang dijangka siap akhir tahun ini dan Sunway Ipoh Mall di Sunway City Ipoh siap pada 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Theme Park, HC Chan.

“Ini akan mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menyediakan kualiti ruang runcit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, untuk kekal berdaya saing dan menyediakan ruang runcit yang berkualiti, Sunway Malls juga sedang melaksanakan Inisiatif Peningkatan Aset (AEI) bernilai RM550 juta untuk 800,000 kaki persegi ruang runcit di Sunway Pyramid dan Sunway Carnival, dengan pelaburan masing-masing RM200 juta dan RM350 juta.

“Ruang runcit yang berkualiti akan membolehkan Sunway Malls memenuhi pelbagai tawaran baharu dan segar, termasuk tawaran yang lebih mesra Muslim,” katanya.

Menuju ke hadapan, Chan berkata, Sunway Malls kekal optimistik untuk mengunjurkan pertumbuhan lima peratus tahun ini, sejajar dengan potensi pemulihan permintaan luaran, meskipun berdepan cabaran utama termasuk kenaikan cukai, pengenalan cukai baharu, penarikan semula subsidi, kenaikan tarif, kenaikan inflasi berterusan dan ketegangan geopolitik.

“Kami melihat ini sebagai sebahagian daripada normalisasi pertumbuhan ke arah tahap pencapaian yang lebih mampan,” katanya.

Sunway Malls mencatatkan pertumbuhan jualan positif lima peratus tahun ke tahun pada 2023, mengatasi rekod prestasi tertinggi yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Pencapaian cemerlang yang dicatatkan Sunway Malls itu disokong pertumbuhan dua angka Sunway Carnival, prestasi berdaya tahan kedai makan dan perbelanjaan perayaan yang kukuh dicatatkan di semua pusat beli-belah Sunway pada suku pertama tahun lalu.

Chan berkata, prestasi jualan pusat beli-belah kumpulan melonjak ketara melebihi jangkaan dengan pertumbuhan 19 peratus pada suku pertama 2023, sebelum menyederhana pada suku tahun berikutnya.

“Prestasi suku pertama Sunway Malls yang kukuh memberikan penampan yang besar untuk mengurangkan penyederhanaan yang berlaku pada suku berikutnya.

“Sepanjang 2023, perniagaan dan pengguna berdepan peningkatan kos disebabkan inflasi dan ringgit yang lebih lemah ekoran kenaikan faedah agresif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

“Namun, Sunway Malls berjaya menetapkan laluan mengatasi kedua-dua landskap perniagaan yang mencabar dan kesan asas yang tinggi pada 2022 untuk mencatat pertumbuhan lima peratus yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan yang dicatatkan Sunway Malls didorong terutamanya oleh prestasi positif subsektor peruncitan pelancongan, kesihatan dan penjagaan diri serta hiburan, manakala subsektor runcit makanan dan minuman (F&B) dan fesyen juga menunjukkan daya tahan serta sokongan.

Katanya, subsektor peruncitan berkaitan pengembaraan mencatat pertumbuhan tertinggi pada 28 peratus tahun ke tahun, manakala subsektor hiburan menyaksikan peningkatan 15 peratus.

“Permintaan untuk kesihatan dan penjagaan diri bertambah baik sebanyak 11 peratus tahun ke tahun, manakala peruncitan fesyen menyaksikan peningkatan sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh permintaan kukuh semasa tempoh perayaan.

“Dalam kategori F&B, segmen restoran menunjukkan pertumbuhan yang luar biasa 5.0 peratus tahun ke tahun walaupun kenaikan inflasi yang berterusan dalam makanan dan minuman bukan alkohol.

“F&B muncul sebagai antara 20 kategori jualan teratas di Sunway Malls, mencerminkan penguasaan F&B yang semakin meningkat dengan menduduki 25 hingga 30 peratus daripada jumlah kawasan yang boleh disewakan,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373