Tambahan e-dompet RM100 boleh ditebus mulai 4 Disember – PM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tambahan nilai e-dompet RM100 secara sekali bayar kepada semua rakyat rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun, boleh ditebus mulai Isnin ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata e-kredit itu akan memberi manfaat kepada 10 juta individu dengan kos RM1 bilion.

Katanya, tempoh penebusan adalah sehingga 20 Februari tahun depan melalui empat penyedia e-dompet, namun beliau tidak memperincikan empat platform berkenaan.

“Sepertimana saya umumkan semasa peluncuran Ekonomi MADANI, kerajaan akan melaksanakan program eMADANI, iaitu tawaran e-kredit tunai RM100 ‘one-off’ kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.

“Pendaftaran dan tuntutan kredit eMADANI akan dibuka mulai Isnin, 4 Disember hingga 20 Februari 2024, membabitkan empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna,” katanya ketika membentangkan Bajet 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

Inisiatif tambahan kredit RM100 itu dibuat kerajaan susulan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia meraih komitmen pelaburan RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di luar negara, masing-masing diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

“Komitmen pelaburan ini agak tinggi dan amat memberangsangkan, sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion, iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini bagi separuh pertama 2023.

“Yang utama ialah jaminan berkembangnya Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dengan mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023. Ekonomi kita berkembang 3.9 peratus bagi sembilan bulan 2023, selari dengan unjuran KDNK 2023 sekitar empat peratus,” katanya.

Anwar juga berkata kerajaan juga berjaya meredakan tekanan inflasi yang kini dicatatkan pada 1.8 peratus, menyusut daripada kadar empat peratus semasa beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara.

“Kini setakat Oktober 2023, kadar inflasi hanya 1.8 peratus, terendah di rantau ini dan lebih baik berbanding kebanyakan negara maju. Tahap pengangguran juga berjaya diturunkan kepada 3.4 peratus setakat September 2023, iaitu terendah dan hampir menyamai kadar sebelum COVID-19, iaitu 3.3 peratus.

“Walaupun baru setahun, kita laksanakan dasar serta pendekatan yang jelas dan tegas yang tidak dilaksanakan sebelum ini, malah ada langkah Belanjawan MADANI Kedua yang sudah pun dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, ketegasan kerajaan dalam tata kelola juga tidak boleh dipertikaikan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam and Tanggungjawab Fiskal diluluskan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Semua usaha di bawah Belanjawan MADANI Kedua akan menyusul setiap keutamaan Ekonomi MADANI yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama, iaitu tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan; penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat,” katanya.

– BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373