‘Tiada arahan daripada saya sekat UtusanTV ‘

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat portal berita, UtusanTV.com.

Menteri, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya juga masih belum menerima sebarang laporan daripada MCMC berhubung sekatan yang dilakukan ke atas portal berkenaan, baru-baru ini.

“Saya tidak menerima sebarang laporan daripada MCMC mengenai perkara ini dan saya akan bertanya kepada mereka.

“Saya tidak berikan sebarang arahan kepada MCMC untuk menyekat mana-mana media termasuk media sosial. Tiada arahan daripada saya atau pejabat saya (KKD),” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media pelancaran OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima dan Dana Iklan Digital ‘OHSEM 360’ di Pullman Bangsar, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi menjelaskan, MCMC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian sekiranya menerima banyak aduan daripada orang ramai.

“Sekiranya banyak aduan kepada pihak polis dan keluhan daripada orang ramai, MCMC ada kuasa untuk lakukan perkara itu

“Saya fikir perkara itu perlu dirujuk kepada MCMC. Saya percaya media sepatutnya bebas,” katanya.

Semalam, BERSIH meminta MCMC menjelaskan dakwaan satu lagi portal berita, UtusanTV disekat kepada pengguna di Malaysia kerana dikatakan melanggar undang-undang.

UtusanTV.com ditubuhkan bekas kakitangan Utusan Malaysia selepas syarikat induknya Utusan Melayu (Malaysia) Berhad ditutup pada 2019 kerana masalah kewangan.

Bagaimanapun, UtusanTV.com tiada kaitan dengan Utusan Malaysia yang dilancarkan semula pada 2020 di bawah syarikat penerbitan Media Mulia Sdn Bhd.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373