KKD teliti pelaksanaan rang undang-undang tuntut gergasi digital bayar kandungan berita – Fahmi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti perkembangan di beberapa negara maju seperti Kanada dan Australia yang sudah melaksanakan rang undang-undang menuntut gergasi teknologi seperti Google dan META membayar kandungan berita kepada syarikat media tempatan.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata, walaupun Malaysia masih belum bergerak ke arah itu, namun siri perbincangan sudah dijalankan oleh agensi KKD, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, perbincangan itu termasuk beberapa siri libat urus dengan penyedia platform media sosial seperti META, yang juga syarikat induk Facebook dan Instagram.

“Kita setakat ini belum sampai ke arah itu (menyediakan RUU) tetapi KKD sudah meneliti perkembangan yang ada disamping mengadakan siri perbincangan termasuklah sesi libat urus.

“Menerusi SKMM juga kita baru-baru ini, sudah bertemu dengan META di Singapura. Ini antara usaha yang sedang KKD lakukan dan kita meneliti apakah langkah yang boleh dilaksanakan dan bersesuaian (dalam konteks industri media negara),” katanya dalam sidang akhbar selepas Prapelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, di Wisma BERNAMA, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha, (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD, Mastura Ahmad Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Roslan Ariffin dan Tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaaffar.

Sebelum ini, Kanada memperkenalkan RUU Akta Berita Dalam Talian yang bertujuan membantu industri berita yang berdepan ‘krisis’ selepas beratus-ratus penerbitan berita ditutup dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Undang-undang baharu itu memerlukan gergasi digital membuat perjanjian komersial yang adil dengan cawangan Kanada bagi berita dan maklumat yang dikongsi di pentas mereka, atau berdepan proses timbang tara.

Langkah itu diwujudkan berdasarkan Kod Tawar Menawar Media Baharu Australia, yang juga negara pertama di dunia menuntut Google dan META membayar untuk kandungan berita disiarkan mereka.

Pengawal selia Australia juga menuduh syarikat yang mendominasi pengiklanan dalam talian, mengenakan bayaran tinggi terhadap agensi berita tradisional tetapi menggunakan kandungan mereka secara percuma.

Firma teknologi besar bagaimanapun menentang keras undang-undang Australia pada mulanya dan bimbang ia akan mengancam model perniagaan mereka, namun dengan pindaan tertentu, ia mudah diluluskan oleh penggubal undang-undang.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kewartawanan jalanan yang sering menghimpit industri media hari ini, Fahmi menegaskan perkara yang paling penting untuk dititik beratkan adalah berkaitan etika kewartawanan.

“Isu ini adalah realiti yang berlaku hari ini dan paling penting adakah ia menepati etika kewartawanan yang sentiasa dipegang oleh pengamal media.

“Kerajaan juga sangat teguh dengan perkara ini, walaupun memberi kebebasan kepada media namun hak bersuara itu tidak sampai ke tahap memfitnah atau mengaibkan orang,” katanya.

Beliau juga berkata, mengambil berat isu etika kewartawanan, Fahmi turut bersedia untuk berbincang dengan pesatuan kewartawanan seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dan kelab wartawan untuk bekerjasama mencari penyelesaian yang boleh dimanfaatkan semua. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373