Ubat kencing manis murah kurangkan risiko ‘long COVID’

Estimate Reading Time: < 1 minute

PARIS: Individu yang mengambil ubat diabetes murah selepas disahkan positif COVID-19 mempunyai risiko 40 peratus lebih rendah untuk mendapat gejala ‘long COVID’, menurut satu kajian yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Dapatan itu dipuji sebagai ‘mercu tanda’ berpotensi dalam usaha memerangi keadaan yang masih kurang difahami, dianggarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjejaskan satu daripada 10 orang yang dijangkiti wabak berkenaan.

Kajian itu berkata, ia adalah percubaan pertama plasebo secara rawak dalam fasa ketiga dan dianggap sebagai standard emas dalam penyelidikan, bagi menunjukkan bahawa dengan mengambil ubat, berupaya mencegah daripada mendapat gejala ‘long COVID’.

Ia menguji ubat yang dipanggil metformin, yang pada asalnya dibangunkan daripada bunga lilac Perancis, dan telah menjadi ubat yang sinonim untuk merawat diabetes jenis dua di seluruh dunia selama beberapa dekad.

Ini bermakna, ubat berkenaan adalah selamat, murah dan mudah didapati.

Kajian itu merangkumi 1,126 individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes di AS, separuh daripadanya menerima metformin dan separuh plasebo dalam tempoh beberapa hari selepas disahkan positif COVID-19.

Selepas 10 bulan, 35 orang daripada peserta yang mengambil metformin didiagnosis dengan gejala ‘long COVID’, berbanding 58 individu untuk kumpulan plasebo, yang mewakili pengurangan risiko sebanyak 40 peratus.

Percubaan itu dijalankan antara Disember 2020 dan Januari 2022, bermakna ia termasuk varian Omicron, yang menurut kajian, menyebabkan gejala ‘long COVID’ pada kadar lebih rendah daripada strain sebelumnya.

Pasukan di sebalik percubaan COVID-OUT sebelum ini telah menunjukkan bahawa metformin mengurangkan risiko pesakit COVID-19 untuk dirawat di jabatan kecemasan, kemasukan ke hospital dan kematian, sebanyak lebih 40 peratus.

Seorang penyelidik di Universiti Minnesota dan pengarang utama kajian baharu itu, Carolyn Bramante, memberitahu AFP bahawa ‘data menunjukkan metformin mengurangkan jumlah virus SARS-CoV-2’ pada pesakit.

Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal Lancet Infectious Diseases.

– AFP

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373