Urusan jenazah mangsa COVID-19 beragama Islam tidak lebih 24 jam

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Pengurusan jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam di tiga hospital di negeri ini ditetapkan tidak melebihi tempoh 24 jam.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini dalam perbincangan dengan pengendali mayat pesakit COVID-19 bukan Islam bagi proses pengurusan yang mengambil masa sehingga empat hari.

“Alhamdulillah, suka saya maklumkan tiada lagi ‘limpahan’ jenazah pesakit COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) seperti dilaporkan sebelum ini.

“Ia selepas beberapa inisiatif yang kita laksanakan termasuk menjadikan tiga hospital iaitu HTAR, Hospital Shah Alam dan Hospital Sungai Buloh sebagai pusat pengurusan jenazah COVID-19.

“Kini, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang berbincang dengan pengendali bagi mempercepatkan proses pengurusan mayat bukan Islam,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, 30 peratus individu di negeri ini menerima dua dos vaksin COVID-19 sehingga semalam.

“Dalam tempoh 20 hari lagi kita akan mencecah 50 peratus maknanya, sehingga akhir Ogos, kita mungkin hampir mencapai 60 peratus.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati dengan angka ini, justeru pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk menumpukan suntikan vaksin kepada kepada warga asing sama ada yang berdokumen atau tidak,” katanya.

Amirudin berkata, penerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (SelVAX) secara ‘walk in’ akan diberi sesi temujanji di aplikasi SeLangkah bagi suntikan dos kedua.

Katanya, pemberian temu janji itu bagi mengelak kesesakan di antara penerima vaksin di PPV.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373