Baling ‘molotov cocktail’ salah tapi kaitkan BERSATU-PAS sangat tak bertanggungjawab – Hamzah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pembangkang menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengaitkan BERSATU dan PAS sebagai mengapi-apikan isu sehingga membawa kepada serangan bom botol terhadap rumahnya sebagai tidak bertanggungjawab.

-Advertisement-

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata dalam urusan agama, orang Islam akan bangkit sendiri tanpa perlu diapi-apikan apabila urusan Islam dicampuri pihak luar.

“Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau (Koo Ham) memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Koo Ham dilapor memaafkan pihak yang melontar bom botol sehingga menyebabkan kebakaran yang merosakkan kereta dan rumahnya.

Bagaimanapun, beliau menuding jari kepada PAS dan BERSATU yang didakwanya mengapi-apikan isu supaya orang membencinya.

Koo Ham mendakwa serangan yang bertujuan membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

-Advertisement-

Pemuda PN turut membuat satu laporan polis terhadap Koo Ham berkait dakwaan yang dibuatnya terhadap BERSATU dan PAS.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian melibatkan Koo Ham supaya berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan.

“Apatah lagi jika ia menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga, sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman,” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu juga menyifatkan perbuatan khianat oleh pihak tertentu yang membaling bom botol ke kediaman Koo Ham sebagai tidak boleh diterima dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

“Polis perlu segera memburu dalang kejadian khianat itu kerana perbuatannya bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373