‘Diri saya dah macam zombi…’

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Ketika saya disahkan menghidap kanser payudara tahap empat, sel kanser sudah merebak ke hati dan seluruh tulang belakang serta rasa ini pengakhiran hidup saya,” kata pejuang kanser payudara, Calise Teo, 41.

-Advertisement-

Calise didiagnos menghidap kanser payudara tahap empat pada 2020, selepas melahirkan anak perempuan ketika itu berusia empat bulan.

“Keadaan saya sangat lemah serta perlu berkerusi roda untuk bergerak dan tubuh sakit ketika baring.

“Saya tetap kuatkan mental dan fizikal. Ketika berjumpa doktor, saya minta pendapat mereka dan banyak soalan ditanya terutama peluang hidup.

“Doktor yang merawat saya memberitahu ada kes sama, pesakit mampu bertahan hidup hingga sekarang. Ayat itu beri harapan dan semangat untuk saya terus berjuang ” katanya ketika ditemui, baru-baru ini yang berkongsi pengalaman mengenai cabaran menangani kanser digeruni wanita.

Pekerja swasta itu berkata, beliau mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Sunway dan melakukan radioterapi dalam tempoh 10 minggu setiap tahun.

Ketika radioterapi paling mencabar kerana perlu baring dan sakit.

“Sehingga kini saya masih menjalani rawatan di hospital berkenaan. Namun, saya gembira apabila melihat doktor dan setiap rawatan yang diberikan juga sangat baik.

“Kepada individu yang ragu-ragu dan sudah tahu anda penghidap kanser. Selepas didiagnos kanser, ingatlah ia bukanlah pengakhiran kepada hidup.

“Dengan teknologi maju, ia sangat membantu merawat dan mengurangkan derita penyakit ini,” katanya.

Kuatkan semangat berjuang lawan kanser

-Advertisement-

Pejuang kanser payudara tahap dua, Filzah Farah Zainoodin, berkata beliau didiagnos kanser ketika usia 34 tahun dan disedari selepas sakit di bahagian payudara kiri dan rasa ada benjolan ketika menyusukan anak.

“Saya buat mamogram dan ultrasound di hospital dan saya dihubungi kembali untuk memaklumkan keputusannya, iaitu saya disahkan kanser. Saya akui ketika itu perasaan takut menyelubungi diri terutama selepas memikirkan anak masih kecil dan keluarga.

“Tapi saya kuatkan semangat jalani beberapa sesi kemoterapi dan radioterapi serta lain rawatan susulan.

“Memang bukan mudah dan saya lalui dengan tabah, namun bersyukur di atas sokongan moral daripada keluarga dan rakan,” katanya.

Tambahnya, perjalanan sebagai pejuang kanser bukan suatu yang indah dan menyeronokkan.

“Sepanjang sesi kemoterapi, saya boleh cakap diri saya dah macam zombi. Dengan rambut dan segala bulu gugur, tak lalu nak makan, sakit badan dan serba tak kena semua, selain perlu masuk darah kerana tekanan darah rendah.

“Selepas rawatan radioterapi, kulit jadi kering dan terkoyak. Tapi apabila semua sudah selesai. Saya sendiri kagum dengan diri saya sebab mampu harungi itu semua,” katanya ibu saudara juga menghidap kanser payudara, manakala bapa saudaranya derita kanser paru-paru.

Filzah menasihati orang ramai supaya jangan takut atau melengahkan membuat pemeriksaan dan rawatan.

“Kanser ini bukan pengakhiran hidup. Kita perlu percaya dengan rawatan yang doktor berikan. Apa yang doktor nasihat adalah jalan terbaik kerana mereka pakar dalam bidang itu.

“Saya juga berharap jika seseorang menghidap kanser, jangan takut dan terima semuanya di samping lakukan rawatan untuk kesembuhan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427